PETALING JAYA: Ketua agensi penguatkuasaan tidak boleh berasakan dirinya sahaja paling bijak dalam membuat keputusan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, setiap pemimpin perlu mengamalkan budaya kerja berpasukan kerana kejayaan sesebuah organisasi tidak boleh dicapai secara bersendirian.
“Saya sebagai Ketua Pesuruhjaya tidak boleh berfikir seorang. Saya mungkin mempunyai angan-angan sendiri dan cara tersendiri tetapi kita bekerja sebagai satu pasukan.
“Saya boleh cabar mana-mana ketua agensi, kalau dia fikir dia seorang sahaja yang pandai, bermakna dia menuju kehancuran,” katanya dalam audio siar Kolar Hitam terbitan SPRM hari ini.
Azam berkata, sikap takbur dan berasakan diri sentiasa betul perlu dijauhi.
“Ini bukan sekadar falsafah tetapi ajaran daripada al-Quran. Kita jangan takbur dengan mengatakan kita seorang sahaja yang pandai dan betul dalam dunia ini.
“Kita hanya mampu merancang dan berusaha melaksanakan sesuatu tetapi Allah yang menentukan segalanya,” ujarnya.
Katanya, elemen ketegasan amat penting dalam memimpin sesebuah agensi penguatkuasaan.
Ujarnya, tiada kompromi terhadap pegawai yang terlibat dalam jenayah termasuk rasuah, salah laku serta pelanggaran disiplin serius.
“Memimpin satu agensi penguatkuasaan mesti ada ketegasan kerana kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melakukan kesalahan jenayah, rasuah atau salah laku keterlaluan berkaitan disiplin,” katanya. – UTUSAN










