PUTRAJAYA: Lapan individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan pembekuan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikat peruncit pakaian, Padini Holdings Bhd.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan kes masih berjalan dan 10 individu telah dirakam percakapan manakala 15 lagi akan dikesan bagi tujuan sama.
“Kes masih lagi dalam siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Katanya, pembekuan aset (akaun bank) syarikat itu masih diteruskan walaupun terdapat permohonan daripada pihak berkaitan untuk aset berkenaan dilepaskan.
“Pegawai penyiasat masih mengatakan perlu dibekukan lagi aset syarikat berkenaan,” jelasnya.
Pada 25 April lalu, Padini memaklumkan telah memulakan semakan dalaman susulan pembekuan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya oleh SPRM.
Padini turut memaklumkan, pihaknya telah melantik penasihat undang-undang luar serta mengambil langkah sewajarnya termasuk memohon relif bagi tujuan penyahbekuan akaun terlibat.
SPRM pada 24 April lalu membekukan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikat Padini mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). – UTUSAN










