Rafizi keluar SPRM selepas dirakam keterangan 8 jam

Rafizi keluar SPRM selepas dirakam keterangan 8 jam

RAFIZI Ramli ditemui media selepas selesai beri keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung siasatan dijalankan suruhanjaya itu.

Rafizi dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM di sini pada  6.50 petang selepas lebih lapan jam memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom, Arm Holdings Plc.

Beliau berkata, proses soal siasat berjalan lancar dan beliau memberi kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat sepanjang tempoh berkenaan.

“Prosesnya berjalan dengan lancar, cuma mengambil masa yang panjang kerana banyak perkara yang perlu dijelaskan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan SPRM di sini, hari ini.

Rafizi turut memaklumkan beliau dijangka dipanggil semula bagi membantu siasatan pada hari berikutnya.

“Saya kena datang esok pukul 10 pagi seperti biasa. Kemungkinan juga akan dipanggil untuk beberapa hari lagi, tetapi itu bergantung kepada pihak SPRM,” katanya.

Sebelum itu, beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi dengan menaiki SUV Volvo berwarna biru gelap diiringi lima orang peguamnya termasuk seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Sam. 

Menurut Rafizi, siasatan tersebut berkait dengan dakwaan yang dikemukakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perjanjian usaha sama antara kerajaan dan syarikat pembuat cip yang didakwa dibuat secara tergesa-gesa.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, kehadiran Rafizi adalah bertujuan memberikan kerjasama kepada SPRM dalam melengkapkan siasatan yang dijalankan.

“Beliau (Rafizi) tiba di SPRM kira-kira pukul 9.30 pagi tadi dan telah dilepaskan pada pukul 6.30 petang tadi. Rakaman percakapan akan bersambung untuk hari kedua esok pukul 10 pagi,” katanya.

Rafizi disiasat susulan isu salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion di antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semi konduktor.

Sehingga kini, sebanyak 22 keterangan diambil termasuklah dalam kalangan Menteri dan juga pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN