PETALING JAYA: Sebanyak 6,643 tangkapan melibatkan pelbagai kes rasuah dan salah guna kuasa dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2020.
Dalam tempoh itu, nilai rampasan, sitaan, pelucuthakan serta penyelesaian kes yang direkodkan pula melebihi RM16.29 bilion.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd. Yusoff berkata, pihaknya turut menerima 40,648 maklumat dan membuka 5,997 kertas siasatan dengan 2,843 pertuduhan berjaya dilakukan serta 1,459 kes merekodkan sabitan.
“Tahun 2024 mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 1,334 kes berbanding 998 tangkapan pada 2020, 851 (2021), 909 (2022), 1,137 (2023), 1,145 (2025) dan 269 setakat tahun ini.
“Bagi pertuduhan pula, tahun 2021 merekodkan jumlah tertinggi dengan 525 pertuduhan diikuti 480 pada 2020, 390 (2022), 446 (2023), 454 (2024), 475 (2025) dan 73 pertuduhan bagi tahun ini,” katanya hari ini.
Hisyam berkata, 190 sabitan direkodkan pada 2020 dan meningkat kepada 300 sabitan pada 2021.
Katanya, jumlah sabitan menurun kepada 255 pada 2022 dan 185 pada 2023 sebelum kembali meningkat kepada 256 pada 2024.
“Pada 2025, sebanyak 234 sabitan direkodkan manakala 39 sabitan dicatatkan setakat tahun ini,” jelasnya.
Katanya, SPRM turut merekodkan jumlah keseluruhan rampasan, sitaan, pelucuthakan, kompaun dan penyelesaian kes (settlement) sepanjang 2021 hingga 2026 mencecah lebih RM16.29 bilion.
Hisyam berkata, nilai keseluruhan tertinggi dengan nilai RM8.11 bilion pada 2023 diikuti 2021 (RM5.13 bilion) dan 2025 (RM1.74 bilion). – UTUSAN









