PETALING JAYA: Program pencegahan rasuah melalui pendekatan seni kreatif terus mendapat sokongan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memperluaskan penyampaian mesej antirasuah serta pembudayaan integriti kepada masyarakat secara lebih berkesan dan menyeluruh.
Keberkesanan pendekatan itu terbukti apabila Pasukan TMC Dancer, Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz (KTETM) yang menyertai Pertandingan Tarian Antarabangsa 11th World Cup of Folklore 2026 di Bulgaria, berjaya merangkul empat
kategori utama selepas mengangkat mesej antirasuah dalam persembahan mereka.
Empat kategori yang dimenangi ialah Anugerah Emas Kategori Solo, Anugerah Emas Kategori Duo, Anugerah Emas Kategori Kumpulan serta Grand Prix bagi kategori tarian, selain Super Grand Prix (World Championship) untuk keseluruhan pertandingan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan TMC Dancer KTETM serta memuji komitmen mereka yang tetap gigih menjalani latihan walaupun sibuk dengan jadual pengajian masing-masing.
“Program pencegahan rasuah menerusi kaedah seni kreatif sememangnya mendapat sokongan SPRM dalam usaha menyebarluaskan mesej antirasuah dan integriti kepada masyarakat,” katanya di sini hari ini.
Pertandingan anjuran European Association of Folklore Festivals (EAFF) dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Veliko Ternovo, Bulgaria itu menyaksikan penyertaan kira-kira 100 pasukan dari tiga benua.
Pasukan TMC Dancer KTETM yang berpusat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi itu dianggotai 10 pelajar dan menampilkan persembahan tarian rakyat yang diiringi dua guru iaitu Nadia Hanis Noordin dan Nur Bazlina Syakirin Ramli.
Pasukan berkenaan turut menjalani latihan intensif selama tujuh bulan di bawah bimbingan Muhammad Nazri Lanibi dan Muhammad Izwan Suhairi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli memaklumkan, pihaknya bekerjasama dengan KTETM dalam menyokong pasukan TMC Dancer KTETM untuk menjadikan seni kreatif sebagai medium penyampaian mesej antirasuah.
Program tersebut merupakan sebahagian inisiatif potongan cukai di bawah SPRM, dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang menyokong usaha pembudayaan integriti dalam kalangan pelajar, khususnya di Selangor.
“Selain itu, ia turut membantu membawa mesej integriti menerusi kempen ‘Keep Malaysian Clean’ di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN









