LAGOS: Sebuah mahkamah di Nigeria pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 75 tahun terhadap bekas menteri tenaga, Saleh Mamman, kerana menyeleweng jutaan dolar daripada projek hidroelektrik.
Agensi antirasuah Nigeria, Suruhanjaya Jenayah Ekonomi dan Kewangan (EFCC), berkata, Mamman didapati bersalah kerana mengubah wang haram berjumlah 33.8 bilion naira (AS$97 juta).
Nigeria ialah ekonomi keempat terbesar di Afrika dan pengeluar minyak terbesar benua itu, namun negara tersebut berdepan kekurangan bekalan elektrik yang serius akibat jaringan grid yang uzur serta pengeluaran tenaga yang tidak mencukupi.
Menurut Bank Dunia, lebih 40 peratus rakyat Nigeria tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik grid.
Hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan, Justice James Omotosho di Abuja menjatuhkan hukuman penjara 75 tahun terhadap Mamman atas kesalahan pengubahan wang haram, menurut EFCC dalam hantaran di platform X.
Mamman, yang berkhidmat sebagai menteri tenaga antara 2019 hingga 2021, dijatuhi hukuman tanpa kehadirannya di mahkamah.
Beliau merupakan menteri pertama yang pernah berkhidmat di bawah bekas presiden Muhammadu Buhari yang dihormati kerana pendiriannya menentang rasuah tetapi dipenjarakan atas kesalahan rasuah.
Beberapa pegawai kanan lain daripada pentadbiran Buhari turut berdepan perbicaraan atas tuduhan penipuan, termasuk bekas menteri kehakiman, bekas gabenor bank pusat dan bekas menteri sumber manusia. – AFP










