JAKARTA: Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia bakal melancarkan lelongan bagi 10 blok minyak serta gas baharu. Ia dilakukan sempena Konvensyen dan Pameran Persatuan Petroleum Indonesia (IPA Convex) yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 23 Mei 2026.
Ketua Pengarah Minyak dan Gas kementerian itu, Laode Sulaeman memaklumkan kepada media di Jakarta bahawa blok-blok yang akan dilelong terletak di beberapa wilayah strategik termasuk Sulawesi, Kalimantan, Papua serta Sumatera.
Senarai blok tersebut merangkumi kawasan di Rupat, Puri, Karapan Baru, Pesut Mahakam, Bengara II, Maratua II, Matindok Selatran, Lao-Lao, Rombebai dan Utara Papua/Jayapura.
Semua kawasan blok berpotensi ini telah selesai menjalani kajian mendalam yang dijalankan oleh Agensi Geologi dan Pusat Ujian Minyak serta Gas (Lemigas).
Selain itu, Sulaeman turut menyatakan komitmen kerajaan dalam mewujudkan iklim pelaburan minyak dan gas huluan yang lebih menarik melalui pelbagai polisi fiskal baharu.
Antara insentif yang ditawarkan termasuk peruntukan fiskal yang lebih kompetitif dengan agihan sebanyak 50 peratus untuk kontraktor, berbanding kadar 15 hingga 30 peratus sebelum ini.
Kontraktor kini diberikan kebebasan untuk memilih antara kontrak pemulihan kos atau pembahagian kasar, selain menikmati pengecualian cukai tidak langsung sepanjang tempoh cari gali.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia, mengesahkan bahawa proses kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi Blok Tuna di Laut Natuna Utara akan dimulakan dalam masa terdekat.
Projek luar pantai yang signifikan ini disasarkan untuk memulakan pengeluaran menjelang tahun 2028 atau selewat-lewatnya 2029.
Langkah pecutan ini menyusul selepas syarikat Harbour Energy dari United Kingdom keluar daripada projek tersebut pada penghujung 2025 akibat sekatan antarabangsa dengan sebahagian sahamnya kini telah dijual kepada syarikat nasional. – AGENSI










