Bekas eksekutif dituduh terima dana RM9.65 juta - Utusan Malaysia

Bekas eksekutif dituduh terima dana RM9.65 juta

Dituduh rasuah
MOHD. Amal M. Razalan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah dan hasil aktiviti wang haram sebanyak RM9.65 juta, di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ibarat ‘jutawan segera’ seorang bekas Eksekutif Pembinaan Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) dituduh menerima rasuah dan hasil aktiviti haram sebanyak RM9.65 juta bagi 92 projek pembinaan dan penyelenggaraan untuk syarikatnya antara 2018 hingga 2022.

Bagaimanapun, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini Mohd. Amal M. Razalan, 35, mengaku tidak bersalah selepas kesemua 46 pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Sebanyak 41 pertuduhan terhadap bapa kepada dua orang anak itu dituduh di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 apabila menerima dana sebanyak RM9.4 juta daripada empat individu melalui akaun sebuah syarikat yang sama iaitu MGV Energy Sdn. Bhd apabila bersubahat dengan pengarahnya.

Mohd. Amal dituduh menerima suapan berkenaan bagi memperakukan 87 Job Completion Ticket kepada PCSB untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan serta Provision Of Civil & Structural Maintenance Services For PCSB.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank di Puchong antara 20 September 2019 hingga 18 Mac 2022.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) akta berkenaan yang dibaca bersama Seksyen 28 (1) akta sama. Jika sabit kesalahan Mohd. Amal yang disebut sebagai Orang Kena Tuduh (OKT) boleh dihukum di bawah Seksyen 24 iaitu penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi lima pagi pertuduhan, anak ketiga daripada empat beradik itu dituduh menerima hasil daripada akviti haram sebanyak RM252,042.92 melalui dua akaun bank miliknya daripada akaun bank dan kad kredit sebuah syarikat.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kesalahan tersebut didakwa  dekat dilakukan di cawangan bank berbeza sekitar Shah Alam, Petaling Jaya dan Puchong antara 29 Ogos 2018 dan 18 Mac 2022.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon jaminan RM200,000 hingga RM300,000 dengan satu penjamin bagi kesemua pertuduhan dikenakan kepada tertuduh.

“Apa bentuk jaminan yang dikenakan seharusnya mencerminkan tahap keseriusan kesalahan dan jumlah jaminan yang ditawarkan itu adalah munasabah,” katanya.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, yang mewakili OKT kemudian memohon jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya telah dikenakan jaminan RM180,000 pada 4 Januari lepas di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi lebih 40 pertuduhan berbeza.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira semua aset anak guam saya telah dibekukan, penjamin perlu mencari sumber untuk membayar jaminan.

“Anak guam saya juga adalah penanggung utama keluarga, dia menanggung isteri, dua anak dan adik-beradiknya serta bapanya kini menghidapi penyakit lumpuh kekal,” katanya.

Katanya, tertuduh juga telah ditamatkan perkhidmatan dengan Petronas sejak Mei tahun lepas selain memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bersama seorang penjamin dengan RM70,000 dibayar hari ini dan selebihnya sebelum tarikh sebutan semula kes pada 30 Januari ini.  

Pada 4 Januari lepas, lelaki itu didakwa atas 37 pertuduhan rasuah dan enam pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah lebih RM6 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya