Sidang DUN Khas: Selangor umum pakej daya tahan berjumlah RM355.06 juta

Sidang DUN Khas: Selangor umum pakej daya tahan berjumlah RM355.06 juta

Pakej daya tahan
AMIRUDIN Shari membentangkan Pakej Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas DUN Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM355.06 juta dalam Pakej Daya Tahan Selangor bagi menampan kesan akibat kejutan rantaian bahan api yang memberi kesan kepada bekalan global susulan penutupan Selat Hormuz.

Pakej tersebut melibatkan dua fasa masing-masing berjumlah RM145.8 dan RM209.26 juta yang diperuntukkan bagi pelbagai sektor termasuk bekalan makanan, pertanian, pengangkutan awam, perumahan, pendidikan, perkhidmatan, keusahawanan dan sebagainya.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, meskipun Amerika Syarikat dan Iran sudah pun memeterai gencatan senjata dan perjanjian damai, namun kerajaan negeri tidak boleh bersikap naif untuk membiarkan kesan krisis merosakkan kestabilan dan kemakmuran dalam negara.

“Selangor juga merupakan hab utama pembuatan, logistik, perdagangan, penerbangan, ekonomi digital dan perkhidmatan moden negara. Oleh itu, sebarang gangguan terhadap perdagangan antarabangsa atau peningkatan kos operasi global akan memberi kesan langsung kepada sebahagian besar aktiviti ekonomi negeri.

“Sektor pembuatan Selangor yang menyumbang hampir satu pertiga daripada ekonomi negeri berdepan risiko peningkatan kos pengeluaran akibat kenaikan harga tenaga dan bahan input,” katanya ketika membentangkan Pakej Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menambah, sektor logistik dan pengangkutan di Selangor yang tertumpu di Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berdepan cabaran peningkatan kos operasi dan kelewatan penghantaran sekiranya gangguan perdagangan global berpanjangan.

April lalu, kerajaan negeri melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor 2026 Fasa 1 selepas satu Sidang Meja Bulat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Antara program pengukuhan yang dilakukan seperti pelaksanaan Gudang Makanan Selangor dengan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk mewujudkan stok penimbal bagi lima jenis makanan asas seperti beras, ayam, daging, ikan dan minyak masak.

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut menyediakan Baucar Kita Selangor berjumlah RM100 sebulan dalam e-dompet Selangkah selama enam bulan kepada 50,000 keluarga.

“Bagi fasa 2, kerajaan negeri akan melindungi sektor peruncitan dan menawarkan pilihan peralihan kepada pekerja yang kehilangan mata pencarian untuk menceburi bidang keusahawanan serta peluang untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran.

“Menurut data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), daripada 10,869 warga Selangor yang kehilangan pekerjaan, sebanyak 2,549 adalah dari sektor peruncitan, 2,316 pula dalam sektor pembuatan.

”Daripada jumlah tersebut, 40 peratus adalah berada di peringkat pengurusan dan profesional diikuti dengan pekerja juruteknik atau pengendali jentera,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN