Pelabuhan Klang catat pertumbuhan 5.2 peratus pada suku pertama

Pelabuhan Klang catat pertumbuhan 5.2 peratus pada suku pertama

Pertumbuhan Pelabuhan Klang
ANTHONY Loke Siew Fook merasmikan Wisma Golden Horse pada Majlis Pra Pelancaran PKFZ: Smart Intelligence Industrial Park dekat Pulau Indah di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pelabuhan Klang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada suku pertama tahun ini walaupun berdepan peringkat awal krisis di Selat Hormuz dalam tempoh tersebut.

Sebanyak 3.71 juta kontena diterima bagi perdagangan import dan eksport di kedua-dua Pelabuhan Barat (Westport) dan Utara (Northport) berbanding 3.53 juta kontena dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau sedang menunggu prestasi bagi suku kedua susulan krisis tersebut namun optimis ia terus meningkat susulan pemeteraian perjanjian damai antara Amerika Syarikat dengan Iran.

“Suku pertama sangat baik, kita ada pertumbuhan 5.2 peratus dalam tempoh tersebut memang bagus. Malah, saya rasa ia bertentangan dengan jangkaan susulan perang di Iran.

“Tetapi, pertumbuhan melebihi jangkaan berbanding tahun lalu. Angkanya agak positif, kita berjaya mengharungi cabaran dalam tempoh tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pra Pelancaran Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ): Smart Intelligence Industrial Park di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau yakin perdagangan dan jumlah eksport negara akan meningkat selepas gencatan senjata serta perjanjian damai dicapai antara AS dan Iran.

Menurut laporan Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA), jumlah transhipment eksport pada suku pertama tahun ini adalah sebanyak 832,231 (kontena) meningkat 5.5 peratus berbanding 788,997 berbanding tempoh sama pada 2025, sementara bagi import juga menunjukkan peningkatan 5.2 peratus iaitu 850,628 berbanding 808,754.

Keseluruhan jumlah kontena yang masuk ke Pelabuhan Klang pada tahun lalu adalah sebanyak 15.3 juta.

Dalam pada itu, Anthony Loke memaklumkan PKFZ meletakkan sasaran perolehan sebanyak RM114 juta pada tahun ini selepas mencatatkan hasil tertinggi RM108 juta tahun lalu.

“Ada banyak lagi (potensi pelabur), jadi mereka (pelabur) melihat kilang-kilang besar dan juga PKFZ sebagai tempat pergudangan yang penting. Banyak logam (LME) disimpan dekat sini.

“Kita sasar kira-kira 80 peratus syarikat tempatan dan 20 peratus asing akan melabur di PKFZ,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN