PN bukan milik eksklusif mana-mana parti

PN bukan milik eksklusif mana-mana parti

WAN DZAHANURIN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) milik semua parti pengasas dalam gabungan tersebut dan bukanlah dimiliki secara tunggal oleh parti politik tertentu.

Ketua Penerangan Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, PN didaftarkan secara rasmi pada 2 Ogos 2020 di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sebagai gabungan parti politik yang diasaskan bersama oleh Bersatu, Pas dan Gerakan.

“Justeru, PN adalah milik bersama semua parti pengasas dan segala keputusan dibuat melalui Majlis Pimpinan Tertinggi PN berdasarkan prinsip muafakat serta kesetaraan, bukan milik eksklusif mana-mana satu parti.

“Sehubungan itu, jika ada mana-mana pihak mendakwa PN adalah milik mereka dan merasakan berkuasa memecat parti pengasas yang lain, maka Bersatu Selangor mencabar pihak tersebut mengemukakan surat pemecatan rasmi kepada Timbalan Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang memegang jawatan dalam PN,” katanya di sini, hari ini.

Malam tadi, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Shamsuri Mokhtar dalam kenyataannya beliau membuat penstrukturan semula gabungan itu dengan memecat Ketua Pengarah Pilihan Raya dan Timbalan Setiausaha Agung iaitu Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, penstrukturan tersebut adalah selaras Perlembagaan PN iaitu di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) yang berkuat kuasa serta merta bagi tujuan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan.

Malah, Wan Dzahanurin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis turut mempersoal tindakan Pas berterusan melakukan provokasi terhadap Bersatu dan tindakan yang dilakukan itu hanya memecahbelahkan gabungan dan mengelirukan rakyat.

“Hentikan segera retorik halau parti sendiri yang dilontarkan setiap hari kerana ia hanya memecahbelahkan gabungan dan mengelirukan rakyat.

“Bersatu Selangor ingin bertanya secara terus kepada PAS, sebenarnya PAS mahu apa? PN ditubuhkan untuk menjadi wadah alternatif yang stabil demi kepentingan rakyat dan negara,” tegasnya.

Katanya lagi, rakyat Selangor hari ini lebih menuntut penyelesaian isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan, bukan drama dalaman yang melemahkan keyakinan pengundi.

“Bersatu Selangor kekal komited berada di landasan PN selagi prinsip hormat-menghormati sesama parti pengasas terus dipraktikkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN