KANGAR: Isu alur pelayaran cetek di Terminal Feri Kuala Perlis di sini, dapat diatasi sekiranya lokasinya dipindah ke tempat lain yang berhampiran kawasan sedia ada.
Buat masa ini, terdapat hanya sekitar lima trip feri pada setiap hari disediakan dari terminal berkenaan ke Langkawi berikutan daripada kekangan isu alur pelayaran cetek yang kembali berulang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, sekiranya terminal tersebut masih berada pada lokasi sedia ada, isu berkenaan akan sentiasa berulang memandangkan kawasan itu merupakan laluan bagi bot-bot nelayan.

“Apabila bot-bot nelayan banyak melalui perairan ini, ia akan menyebabkan mendapan lumpur ditolak ke kawasan jeti sekali gus mengakibatkan keadaan menjadi cetek lalu menyukarkan feri untuk masuk.
“Disebabkan itu saya melihat antara penyelesaian kepada isu ini adalah dengan memindahkan lokasi terminal ke kawasan lapang berhampiran Masjid Al Hussain di sini,” katanya.
Untuk rekod, kerja-kerja pengerukan sebelum ini telah selesai dijalankan pada September lalu bagaimanapun permasalahan itu kembali berulang hanya dalam tempoh selepas empat bulan pelaksanaannya.
Mengulas lanjut, Baharin berkata, terdapat beberapa pihak juga sebelum ini mencadangkan agar terminal berkenaan dipindahkan ke kawasan Sanglang namun pelaksanaan itu dibimbangi akan menyebabkan Kuala Perlis suram selepas ini.
Katanya, satu kaji selidik juga sedang giat dilakukan oleh sebuah badan bermula pada tahun lalu melibatkan komuniti nelayan, perkhidmatan feri, pemain industri pelancongan dan pelbagai lagi bagi melihat kesesuaian agar terminal itu dipindahkan ke lokasi lain.
“Lokasi yang dilihat bersesuaian adalah di kawasan lapang berhampiran Masjid Al Hussain kerana dapat memudahkan feri untuk berlabuh dan menggelakkan isu perairan cetek berulang.
“Hasil dapatan daripada kaji selidik yang dibuat oleh pihak terlibat juga akan dibawa kepada kerajaan negeri dan Kementerian Pengangkutan selepas ini untuk pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Baharin berkata, konsortium juga ada memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Laut Malaysia di mana secara mandatori sebanyak lima trip perjalanan feri akan disediakan pada setiap hari buat penumpang.
Katanya, bagaimanapun jumlah kekerapan trip perkhidmatan feri itu akan ditambah mengikut permintaan khususnya pada cuti persekolahan dan perayaan.
“Kemasukan pelancong ke Langkawi adalah bermusim dan disebabkan itu lebih wajar sekiranya kita tambah kekerapan feri mengikut permintaan pengguna,” katanya. – UTUSAN









