KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Pas mengingatkan ahli-ahli Parlimen dalam parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak mementingkan diri sendiri dengan menyokong Kerajaan Persekutuan semata-mata mahu mendapatkan peruntukan kawasan masing-masing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Jerantut, Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, kesemua ahli Parlimen pembangkang berdepan masalah serupa iaitu kekangan peruntukan, namun, tidaklah sehingga menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pas Pusat itu berkata, beliau kecewa dengan tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang sanggup melanggar prinsip dan tidak menghormati kepercayaan rakyat apatah lagi ada yang bertanding atas logo Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya kecewa dengan tindakan sebegini yang tidak menghormati kepercayaan rakyat, apatah lagi dia bertanding atas tiket Pas. Akhirnya, kami terpaksa terima keputusan ini.
“Cuma, saya melihat masa hadapan, berharap semua ahli Parlimen mesti meneguhkan pendirian sebab kesusahan tidak mendapat peruntukan bukan sahaja dialami seorang ahli Parlimen, malah yang lain juga alami masalah sama.
“Jadi, kenapa ahli Parlimen lain ini mempunyai ketahanan? Kerana kita tidak mahu bersama kerajaan yang meletakkan kuasa sebagai ultimate sehingga mengenepikan segala perkara mereka dalam PRU15.
“Antaranya tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana ada Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sebab isu rasuah. Kenapa bila timbul kesusahan ini kita melanggar prinsip? Jadi, saya percaya mereka ini dikenakan oleh Bersatu, terserah apa tindakan dikenakan kepada mereka,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini semalam.
Kelmarin, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Anwar sekali gus menjadi wakil rakyat Bersatu ketiga yang berbuat demikian.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Mohd. Azizi bertanding menggunakan logo Pas di Gua Musang dan menang tipis dengan majoriti 163 undi menewaskan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah daripada Barisan Nasional (BN).
Dua ahli Parlimen terdahulu yang memilih berbeza haluan sokongan dengan Bersatu ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang masing-masing digantung keahlian empat dan enam tahun oleh Bersatu. -UTUSAN










