Nurul Ain selamat keluar dari Gaza

Nurul Ain selamat keluar dari Gaza

NURUL Ain Haron bersama suami, Mohamed A.M. Shaat selamat keluar dari Gaza selepas 37 hari terperangkap dalam konflik Palestin-Israel sejak 7 Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nurul Ain Haron akhirnya telah selamat dibawa keluar dari Gaza selepas 37 hari terperangkap dalam konflik Palestin-Israel sejak 7 Oktober lalu melalui lintasan sempadan Rafah pada 2.23 pagi tadi waktu Malaysia.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar Negeri yang memaklumkan, Nurul Ain diselamatkan bersama suaminya, Mohamed A.M. Shaat yang juga warganegara Palestin.

“Ketibaan Nurul Ain Haron dan suami di lintasan sempadan Rafah telah dimudah cara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai-pegawai kedutaan yang lain.

“Sejurus selepas Nurul Ain dan suami tiba di Rafah, beliau telah dihubungi oleh Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri untuk bertanya khabar melalui panggilan video,” menurut kenyataan kementerian hari ini.

Katanya, tindakan evakuasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan kerja Perdana Menteri ke Mesir pada 23 Oktober lalu serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka.

“Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Mesir, Kerajaan Qatar, Kedutaan Besar Mesir di Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur atas jalinan kerjasama serta keutamaan yang telah diberikan kepada Malaysia dalam usaha menjalankan proses evakuasi warganegara Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza dengan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya