Musim mengawan, ajar anak memburu punca harimau ganas

Musim mengawan, ajar anak memburu punca harimau bertindak ganas

HARIMAU belang yang dipercayai membaham Orang Asli Pos Pasik di Gua Musang, Kelantan ditangkap selepas masuk ke dalam perangkap di pasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Musim mengawan dan mengajar anak memburu dipercayai menjadi antara punca harimau mengganas serta keluar dari kawasan rayau sekali gus menyerang manusia sehingga menyebabkan kematian.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, maklumat tersebut berpandukan kepada laporan yang diterima kerajaan negeri daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Faktor ini (keluar daripada tempat rayau, musim mengawan dan mengajar anak berburu) kita kena tengok . Selain itu, pembukaan hutan juga mungkin menjadi salah satu faktor tetapi ia merupakan proses biasa bagi kerajaan negeri. 

“Tambahan kita sudah mengambil kira semua faktor termasuk alam sekitar dan mengikut peraturan. Cadangan ubah KSAS (Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS)) pula masih dalam kajian dan tidak bermaksud kita mahu batalkan semua serta mengganggu sumber ekologi,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli berkata, Perhilitan turut melaporkan bahawa seekor daripada harimau yang mengganas di kawasan Hulu Kelantan telah ditangkap.

Utusan Malaysia 11 November lalu melaporkan seorang warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai dibaham harimau di kawasan kebun getah Kuala Wak, Pos Pasik, Gua Musang sehari sebelumnya.

Ia disusuli seorang lelaki warga Myanmar, Ah Ka Soe Ya, 22, yang menjadi mangsa kedua dalam tempoh kurang 48 jam dalam kejadian di ladang Kampung Meranto, Gua Musang pada 11 November lalu.

Pada 4 Oktober lalu, seorang lelaki Orang Asli, Pisie Amud, 25 ditemukan maut pada ketika keluar menyumpit seorang diri di kawasan ladang kelapa sawit di Pos Pasik, Gua Musang dengan kesan cakaran harimau di bahagian kepala dan badan.

Terdahulu, pada 12 Mei lalu media melaporkan mayat lelaki Orang Asli, Halim Asin, 27, ditemukan dalam keadaan telungkup di Kuala Sungai Tunggul, Gua Musang dan disahkan maut akibat serangan harimau pada 14 Mei lalu selepas selesai proses bedah siasat.

Terbaharu, Utusan Malaysia pada 14 November lalu melaporkan seorang pemuda, Muhammad Zulhilmi Mokhtar, 26, cedera selepas berlari sejauh 100 meter sambil berkaki ayam selepas motosikal ditungganginya dipercayai merempuh seekor harimau belang dalam kejadian di Jalan Gua Musang-Jeli pada 13 November. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya