ROMPIN: Enam ekor lembu baka Brahman ditemukan mati dipercayai dibaham harimau dalam kejadian di kawasan ladang Kampung Sungai Mok di sini, sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis daerah, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada seorang peneroka Felda berusia 60 tahun pada pukul 8.48 malam semalam.
Menurutnya, pengadu memaklumkan sudah melakukan pemantauan di kawasan ladangnya sebelum mendapati enam ekor lembu terdiri daripada lima betina dan seekor jantan mati dengan kesan gigitan pada bahagian leher.
“Pengadu mengesyaki ternakan tersebut dibaham harimau selepas menemui kesan tapak kaki dipercayai milik haiwan liar itu di sekitar lokasi kejadian.
Kejadian berlaku secara berturut-turut dari 13 hingga 15 Jun lalu dan menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak RM6,300,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sharif Shai berkata, pengadu tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Rompin. – UTUSAN










