PETALING JAYA: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) gagal membelanjakan peruntukan sebanyak RM448.87 juta secara optimum untuk membantu pesawah mengurangkan kos pengeluaran padi.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, kegagalan LPP membelanjakan peruntukan tersebut memberi kesan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Ini kerana, KPKM tidak dapat menggunakan baki peruntukan untuk melaksanakan program lain bagi mengurangkan kos pengeluaran padi seterusnya dapat memberi manfaat kepada pesawah.
Beliau berkata, semakan audit mendapati sejumlah RM3.673 bilion telah disalurkan oleh KPKM kepada LPP pada tahun 2019 hingga 2022 untuk pelaksanaan tujuh skim bantuan subsidi dan insentif penanaman padi dengan sebanyak RM3.224 bilion dibelanjakan.
“Semakan audit selanjutnya mendapati KPKM tidak membuat semakan baki peruntukan sebelum peruntukan tahunan disalurkan kepada pihak LPP dan menyebabkan LPP masih mempunyai baki terkumpul yang tidak dibelanjakan secara optimum bagi membantu golongan sasar mengurangkan kos pengeluaran padi,” katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 yang dikeluarkan, semalam..
Berdasarkan laporan tersebut, terdapat tujuh insentif yang diberikan kerajaan kepada pesawah namun dua daripadanya mempunyai baki tertinggi iaitu Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) – Racun (RM143.26 juta) dan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) (RM140.13 juta).
Bagaimanapun, menurut Wan Suraya, maklum balas yang diterima Jabatan Audit Negara daripada KPKM pada 22 September lalu adalah baki peruntukan subsidi dan insentif di LPP Tahun 2022 setakat 11 September tahun ini adalah sebanyak RM427.78 juta.
“Baki ini adalah sebelum ditolak jumlah komitmen sebanyak RM234.44 juta. Baki bersih di LPP adalah sebanyak RM193.34 juta,” katanya.
Berdasarkan hasil audit tersebut, Wan Suraya berkata, KPKM disyor memastikan semua skin bantuan yang diperuntukkan digunakan secara optimum bagi membantu golongan sasar untuk mengurangkan kos pengeluaran padi seterusnya golongan tersebut mendapat manfaat daripada bantuan yang disalurkan.
Selain itu, dalam laporan sama, Wan Suraya turut menegur isu kelewatan pembekalan baja bagi tempoh 2016 hingga 2019 yang disifatkan sebagai satu kerugian kepada kerajaan dan golongan sasar kerana bekalan baja lewat diterima tetapi tiada tindakan dikenakan terhadap pembekal. – UTUSAN










