Lapan empangan berisiko tinggi sebabkan bencana alam

Lapan empangan berisiko tinggi sebabkan bencana alam

Lapan empangan di negara ini dikenal pasti berisiko tinggi menyebabkan bencana besar sekiranya berlaku kegagalan struktur. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak lapan empangan di negara ini dikenal pasti berisiko tinggi yang berpotensi menyebabkan bencana besar sekiranya berlaku kegagalan struktur empangan pada bila-bila masa.

Lapan empangan itu ialah Empangan Muda dan Ahning di Kedah; Empangan Jor dan Mahang di Perak; Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang; Empangan Babagon di Sabah; Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Kenyir di Terengganu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Bekalan Air, Sulaiman Kamisan berkata, ia hasil pemeriksaan dan pemantauan Flying Squad ke atas keselamatan 41 empangan yang dikategorikan berisiko tinggi terutamanya berusia lebih daripada 50 tahun.

“Bagaimanapun, empangan berisiko tinggi ini tidak bermakna ia tidak selamat, sebaliknya ia adalah terma digunakan untuk mengkategorikan potensi risiko sesebuah empangan yang boleh menyebabkan bencana besar sekiranya berlaku kegagalan struktur empangan.

“Berdasarkan pemeriksaan Flying Squad ke atas lapan empangan berisiko tinggi tersebut, enam daripadanya masih berada dalam keadaan baik dan selamat,” katanya di sini semalam.

Hasil pemeriksaan Flying Squad ke atas lapan empangan itu menemukan pembentukan enapan yang tinggi di kolam takungan, kerosakan peralatan instrumentasi dan kawalan air, tirisan (seepage), kerosakan integriti struktur konkrit, hakisan tanah dan kesan runtuhan.

Kerosakan ini boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan.

Menurut Sulaiman, kriteria utama penilaian yang digunakan ialah umur empangan melebihi 50 tahun, ketinggian melebihi 100 meter, panjang empangan melebihi 1,000 meter, kapasiti takungan melebihi 50 juta meter padu (MCM) dan lokasi aliran hiliran empangan melalui kawasan penempatan penduduk.

Katanya, Flying Squad ini ditubuhkan pada tahun 2015 dan terdiri daripada pakar-pakar pelbagai agensi teknikal seperti Jabatan Bekalan Air, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia dan pihak Tenaga Nasional Berhad.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bertanggungjawab ke atas semua empangan bekalan air dan tebatan banjir kecuali empangan bekalan air di Labuan dan empangan bagi tujuan pengairan pertanian yang mana pemiliknya adalah Kerajaan Persekutuan.

“Bagi lapan empangan berisiko tinggi yang dimaksudkan, Empangan Mahang dan Empangan Jor di Perak serta Empangan Kenyir di Terengganu dan Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang adalah empangan hidroelektrik di bawah kawalan TNB.

“Empangan Bakun yang juga dalam kategori hidroelektrik adalah di bawah kawalan Sarawak Energy Berhad, Empangan Ahning dan Empangan Muda di Kedah yang merupakan empangan pengairan terletak di bawah kawalan MADA dan Empangan bekalan air Babagon di Sabah di bawah kawalan Jabatan Air Negeri Sabah dan JETAMA,” katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pembaikan dan baik pulih perlu dilaksanakan mengikut keperluan bagi memastikan ketahanan empangan sepanjang tempoh hayat penggunaannya.

Sekiranya tiada keperluan untuk menggunakan sesebuah empangan tersebut, beliau menjelaskan, ia perlu dilupuskan melalui prosedur ‘decommission’ bagi memastikan ia tidak menimbulkan risiko keselamatan.

“Garis Panduan Pengurusan Empangan,  Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDAMS) yang dibangunkan JPS hanya garis panduan untuk digunakan oleh pemilik empangan.

“Namun, setiap empangan mempunyai Manual Prosedur Operasi tersendiri yang perlu dipatuhi. Pemilik empangan tidak boleh dikenakan sebarang tindakan jika tidak mengambil sebarang tindakan baik pulih kerana belum ada peruntukan undang-undang untuk tujuan tersebut,” katanya.

NRECC sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya memberi perhatian serius akan risiko kegagalan  struktur empangan seperti yang terjadi di Libya baru-baru ini.

Malah, Empangan Chereh di Pahang dan Empangan Kenyir di Terengganu turut  mengalami kerosakan yang agak teruk dan perlu dipulihkan segera.

Menurut NRECC, kos pembaikan dan penyenggaraan bagi lapan empangan tersebut  dianggarkan sebanyak RM135.8 juta dan pemilik empangan perlu  menyediakan peruntukan khas bagi penyelenggaraan.

Namun demikian, sebagai langkah interim, sekiranya terdapat keperluan mendesak, Kerajaan Persekutuan bersedia menimbang untuk menyediakan sokongan kewangan kepada pemilik empangan yang tidak mempunyai  sumber kewangan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN