Kuasa boikot turunkan harga ayam?

Kuasa boikot turunkan harga ayam?

MOHD. FIRDAUS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kuasa pengguna memboikot restoran rangkaian makanan segera, McDonald’s (McD) dan Kentucky Fried Chicken (KFC) didakwa turut menjejaskan pengedar dan pembekal ayam sekali gus mempengaruhi harga sumber protein tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, disebabkan kuasa boikot pengguna, pembelian ayam membabitkan restoran makanan segera terbabit berkurangan sekali gus menyebabkan lambakan di pasaran.

Akibatnya beliau berkata, berlaku penurunan harga ayam pada hari pertama kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi sumber protein berkenaan pada 1 November lalu.

“Kuasa boikot pengguna ini memang besar, ia boleh menjejaskan sesuatu rangkaian, kita ambil contoh apabila McD diboikot, pembekal dan pengedar ayam pun terjejas.

“YPNM berpandangan, apabila kerajaan menghentikan subsidi dan harga kawalan sukar untuk harga ayam turun, tapi sebaliknya berlaku pada 1 November lalu. Ia menurun di sebalik harga makanan ayam mahal.

“Apa puncanya? Tentunya ia kesan kuasa boikot rakyat terhadap McD dan juga KFC. Kerana tidak mahu terjejas, mahu tidak mahu pembekal terpaksa turunkan harga bagi memastikan bekalan ayam terjual,” katanya di sini semalam.

Selaras pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa, kerajaan bersetuju agar subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan sepenuhnya, 1 November lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, bagaimanapun subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A,B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.

Menurutnya, sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion subsidi telur dan ayam dengan RM100 juta dikhaskan untuk ayam.

Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, YPNM percaya penurunan harga ayam hanya seketika demi memastikan tidak berlaku lambakan di pasaran.

Beliau berkata, apabila diapungkan, harga ayam dijangka boleh meningkat sebanyak 50 peratus iaitu sehingga RM15 sekilogram berbanding sekitar RM9 ke RM10 sebelum ini.

“Ini tidak mustahil berlaku kerana selepas tiada lagi subsidi, harga ayam akan ditentukan sendiri oleh pengeluar dan tauke-tauke besar yang selama ini memonopoli industri ternakan dan bekalan ayam negara.

“Umum mengetahui makanan ayam diimport dari luar negara. Dengan keadaan ringgit Malaysia yang tidak stabil dan belum kukuh di pasaran, bila berlaku pertukaran mata wang tentunya harganya meningkat.

“Ini juga akan menjadi alasan selepas ini untuk tauke-tauke besar menaikkan harga ayam. Jadi YPNM berpandangan, keputusan dibuat kerajaan ini kurang cerdik dan akan menjejaskan rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan tergesa-gesa kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan ayam akan memberikan kesan kepada lebih 30 juta rakyat yang selama ini bergantung kepada sumber protein tersebut.

“Kita ambil contoh ketika musim perayaan nanti, tentunya akan ada permainan harga dalam kalangan pembekal, mahu tidak mahu rakyat tetap kena beli ayam kerana raya hanya setahun sekali,” katanya.

Beliau berkata, YPNM berpandangan kerajaan terdesak melaksanakan keputusan tersebut tanpa berbincang kesannya dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna.

“Dalam kes ini, siapa kerajaan hendak jaga sebenarnya? Rakyat ataupun tauke-tauke besar yang selama ini memonopoli dan sudah mengaut keuntungan berganda,” soalnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN