Gaza: Misi menyelamat makin sukar, bekalan kelengkapan habis

Gaza: Misi menyelamat makin sukar, bekalan kelengkapan habis

SEORANG wanita menenangkan anaknya selepas mereka cedera akibat bedilan udara tentera Israel di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi menyelamat di Gaza susulan serangan bom Israel berlarutan sehingga kini semakin sukar selepas wilayah itu kehabisan bekalan alat kelengkapan untuk penyelamat dan bahan api.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eksekutif Program Antarabangsa Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhamad Amirul Syafik Radzuan berkata, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kelengkapan yang masih berbaki untuk menyelamatkan mangsa yang terkesan dengan serangan rejim Zionis.

Menurut beliau, pihaknya setakat ini sudah menyampaikan sumbangan berjumlah RM5.4 juta kepada penduduk Palestin, sejak 7 Oktober lalu.

Katanya, ia meliputi bantuan segera seperti kotak makanan, makanan panas dan perubatan yang berjumlah RM2.6 juta dan RM2.8 juta untuk bantuan kewangan.

Selain itu, RM80,370 bagi bantuan bekalan bahan api dan RM145,089 bagi bantuan alat kelengkapan penyelamat.

“Namun, bantuan bekalan bahan api dan alat kelengkapan penyelamat sudah tidak dapat dilaksanakan ekoran bekalan di dalam Gaza sudah habis.

“Selain itu, CGM juga telah menyampaikan bantuan segera yang lain seperti menyediakan kanvas untuk dijadikan khemah sebagai tempat tinggal sementara.

“Kempen khusus juga telah dilakukan sebagai persediaan bantuan pasca perang antaranya baik pulih bangunan dan bantuan anak yatim dan keluarga para syuhada,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, jumlah korban akibat serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu meningkat kepada 11,500 orang.

Angka kematian itu termasuk 4,710 kanak-kanak dan 3,160 wanita selain 200 kakitangan perubatan, 22 anggota pertahanan awam serta 51 wartawan.

Bilangan mangsa yang cedera dalam konflik yang berlarutan 40 hari itu turut dilapor mencecah 29,800 dengan kira-kira 70 peratus daripadanya adalah kanak-kanak dan wanita.

Selain itu, sebanyak 95 bangunan kerajaan, 255 sekolah dan 74 masjid musnah manakala 162 mengalami kerosakan, termasuk tiga gereja.

Rejim Zionis turut mensasarkan 52 pusat kesihatan dan 55 ambulans, sementara 25 hospital tidak lagi berfungsi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×