KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin episod ahli Parlimen memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tamat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beberapa langkah pengukuhan telah diambil pimpinan parti itu bagi mengekang lebih ramai ahli Parlimen Bersatu menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Tindakan menyokong Perdana Menteri telah dibawa kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Lembaga Disiplin parti. Sudah pasti ia satu perkara yang melanggar disiplin parti.
“Saya yakin dan percaya setelah sesi pertemuan, perbincangan dengan pimpinan atasan, ia dapat mengekang, tiada insiden yang berulang,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri dengan memberi alasan demi mempertingkat pembangunan dan bantuan untuk kawasan ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.
Empat ahli Parlimen berkenaan ialah Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abd Rahman (Labuan).
Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata, empat ahli Parlimen itu telah mengkhianati pengundi dan penyokong parti.
Beliau juga sekali gus mencabar empat ahli Parlimen berkenaan untuk meletakkan jawatan dan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil bagi menguji tahap sokongan yang diraih mereka.
Dalam pada itu, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut berkata, tindakan disiplin yang dikenakan ke atas empat ahli Parlimen Bersatu itu merupakan pendirian tegas parti, sekali gus meyakini tidak akan ada lagi yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri. – UTUSAN










