Azilah tunggu keputusan jemaah pengampunan

Azilah tunggu keputusan jemaah pengampunan

DUA bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar (kiri) dan Azilah Hadri disabitkan atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Tinggi pada 2009. Mereka dijatuhi hukuman mati pada 2015.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan hukuman mati terhadap bekas anggota polis, Azilah Hadri yang disabitkan dengan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altan­tuya Shaariibuu pada 2006 belum dilaksanakan meskipun Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonannya mengetepikan keputusan itu pada 2020.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Azilah, 47, kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh sebagai banduan akhir sementara menunggu keputusan jemaah pengampunan negeri sama ada hukuman itu diteruskan atau diberikan pengampunan.

Kata sumber itu, Azilah yang sebelum ini menjalani hukuman di Penjara Kajang dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh pada September tahun lalu.

“Dia masih banduan akhir di Penjara Sungai Buloh selepas dipindahkan ke sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan sama dilaporkan dibebaskan daripada Villawood Detention Centre di Sydney, Australia.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan, keluarga Sirul termasuk anak lelakinya, Shukri Azam, kini turut me­netap di Australia.

Terdahulu, akhbar Australia, The Sydney Morning Herald, melaporkan Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015.

Pembebasannya susulan ke­putusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 November lalu yang memutuskan tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

Difahamkan, susulan keputusan itu, seramai 92 orang dan kebanyakannya pelarian termasuk beberapa orang lain yang didapati bersalah atas jenayah kekerasan dibebaskan dan dibenarkan tinggal di Australia di bawah syarat khas.

Pada 3 Mei lalu, media me­laporkan Shukri Azam merayu kepada kerajaan Australia untuk mempertimbangkan semula pemberian suaka politik kepada mereka selepas permohonan pertama ditolak pada 2019.

Shukri Azam memaklumkan dia dan bapanya tidak bercadang pulang ke Malaysia, walaupun hukuman mati mandatori bagi jenayah berat termasuk pembunuhan sudah dimansuhkan.

Altantuya dikatakan terbabit skandal dengan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Ba­ginda, yang juga sekutu rapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Altantuya yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses perundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Najib pada 18 Oktober 2006.

Berikutan itu, dua anggota Unit TIndakan Khas (UTK) iaitu Sirul Azhar dan Azilah ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006.
Pada 9 April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah atas kesalahan membunuh Al­tantuya bagaimanapun kedua-duanya memfailkan rayuan atas hukuman mereka.

Pada Februari 2012, permohonan rayuan mereka berlangsung selama tiga hari dan akhirnya pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.

Namun pendakwaan memfailkan rayuan atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Panel lima hakim persekutuan kemudian sebulat suara menjatuhkan hukuman sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan, pada 13 Januari 2015.

Sirul meninggalkan Malaysia ketika kes itu masih dalam rayuan dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Sirul kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Australia dan dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN