Tiada tawaran sertai Kerajaan Perpaduan - Takiyuddin - Utusan Malaysia

Tiada tawaran sertai Kerajaan Perpaduan – Takiyuddin

Pas Kerajaan
TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pas masih belum menerima sebarang tawaran atau jemputan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, sebaliknya mendakwa hal itu hanya dinyatakan dalam satu temubual oleh media sahaja.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada sebarang tawaran dibuat oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pernah menyatakan hasrat tersebut dalam satu temubual bersama Times Magazine sebelum ini.

“Tawaran tersebut dibuka ketika Times Magazine (dalam temubual), tetapi kita tidak menerima apa-apa tawaran daripada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pintu untuk Pas keluar daripada blok pembangkang dan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan masih terbuka.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Pas malah terbuka bagi tujuan tersebut sejak pembentukan awal kerajaan dan jemputan juga sudah diberikan kepada parti itu.

Bagaimanapun, pada Mei lalu Anwar menafikan dakwaan pemimpin Pas terdapat wakil daripada kerajaan menawarkan kepada parti itu untuk berkerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, beliau sama sekali tidak dimaklumkan berhubung perkara itu malah ia tidak pernah dibincang di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan antara Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Takiyuddin turut menjelaskan kerajaan boleh bertukar pada bila-bila masa berdasarkan sokongan atau keyakinan kepada Perdana Menteri tanpa perlu menunggu pilihan raya.

“Sepatutnya asas dari segi undang-undang kerajaan boleh ditukar pada bila-bila masa, asalkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Sesiapa yang mendapat kepercayaan Yang di-Pertuan Agong mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, ahli itu mesti dilantik sebagai Perdana Menteri. Ini berlaku pada 2020 dan 2021, pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri.

“Bila Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri itu perlu letak jawatan Kabinet bukan dia (Perdana Menteri) sahaja. Tun Dr. Mahathir Mohamad pun meletakkan jawatan Kabinet (pada 2020). Itu perkara asas,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya