Padah curi lori roro, dua sahabat dihadapkan ke mahkamah

Padah curi lori roro, dua sahabat dihadapkan ke mahkamah

Curi lori roro
T. Kavven Kumar dan K. Tiben dihadapkan ke Mahkamah Majistret kerana mencuri lori roro milik syarikat tempat mereka bekerja, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua bersahabat tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri lori roro milik syarikat pembinaan tempat mereka bekerja dekat kawasan perumahan Seksyen U9 di sini, pada Ahad minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, T. Kavven Kumar, 34, dan K. Tiben, 36, membuat pengakuan demikian selepas mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Kedua-dua tertuduh yang merupakan penjaga stor itu didakwa secara bersama-sama mencuri sebuah lori daripada syarikat mereka yang di parkir luar kawasan perumahan Cahaya SPK, Seksyen U9, kira-kira pukul 5.40 pagi pada 17 Mei lalu.

Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun sehingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan M. Partiben yang mewakili Tiben memohon agar anak guam mereka dibenarkan ikat jamin atas alasan tertuduh hanya berpendapatan RM1,600 sebulan selain menanggung isteri serta tiga anak kecil.

“Tertuduh mempunyai alamat tetap di Klang dan keluarga hanya mampu menyediakan jaminan RM2,000 kerana berada dalam kategori B40 serta garis kemiskinan tegar. Lori tersebut juga sudah diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya.

Pada prosiding itu, Kavven tidak diwakili peguam.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman kemudian membenarkan Tiben diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin manakala Kavven tidak dibenarkan jaminan.

Sebutan semula kes termasuk fakta kes dan jatuh hukum ditetapkan 6 Julai depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN