Suspek bunuh isteri positif syabu -Polis

Suspek bunuh isteri positif syabu -Polis

AHMAD MOHSIN MD. RODI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ujian air kencing terhadap suspek kes bunuh isteri di Jalan Padang Nyu di sini pada Sabtu lalu mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine (syabu).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, suspek juga sebelum ini bekerja sebagai anggota tentera, namun diberhentikan sejak empat tahun lalu.

“Siasatan awal polis mendapati suspek diberhentikan kerja pada 2019 kerana terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah dan dia (suspek) juga mempunyai rekod jenayah berkaitan kesalahan narkotik.

“Pekerjaan terakhir suspek adalah pembantu sebuah kedai borong di kawasan berdekatan sebelum dia ditahan polis,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, akibat cemburu dengan mengesyaki isterinya berlaku curang dipercayai menjadi punca seorang suami bertindak menikam isterinya dengan sebilah pisau di bahagian kiri dada wanita berkenaan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, dipercayai terjadi pergaduhan terlebih dahulu antara suspek berusia 38 tahun yang juga merupakan bekas tentera dan isterinya, Munirah Abu Bakar merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang pada masa itu sedang bersedia untuk keluar pergi bekerja.

Selepas menikam isterinya di ruang tamu rumah, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mangsa dengan selimut tebal seterusnya menghantar dua anak mereka ke rumah pengasuh.

Suspek tersebut direman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga 7 Oktober.

Dalam pada itu, Ahmad Mohsin juga mendedahkan laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan akibat tikaman pada hati dan ‘inferior vena cava’.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN