'Reset' sistem pertanian bagi jamin sekuriti makanan

‘Reset’ sistem pertanian bagi jamin sekuriti makanan

Sektor pertanian negara perlu di'reset' dan diperbaharui agar ia dapat menjamin sekuriti makanan domestik.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem pertanian Malaysia perlu di‘reset’ atau diperbaharui dan disusun semula bagi memastikan tahap sekuriti makanan negara dapat dipertingkatkan sekali gus berupaya menangani pelbagai krisis pada masa akan datang.

Ini kerana beberapa agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilihat gagal dalam memenuhi objektif kewujudannya apabila bertindak seperti ‘tikus membaiki labu’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW), Nordin Abdul Malek berkata, kelemahan sistem pengurusan beberapa agensi yang sedia ada menyebabkan negara gagal mencapai tahap sekuriti makanan yang memuaskan.

Kata beliau, sekarang ini terdapat 17 agensi di bawah KPKM antaranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Kita sebenarnya berhadapan dengan masalah keseragaman antara agensi-agensi berkaitan. Contohnya FAMA yang sepatutnya untuk mengimbangi pasaran tetapi kini menjadi badan yang turut bersaing dalam pasaran.

“Ini bukan tentang dasar yang tidak cantik ataupun negara kita tidak mempunyai pengetahuan dalam sekuriti makanan tetapi pelaksanaannya sendiri sangat lemah dan tidak teratur.

“Kelemahan ini berlaku dalam tempoh 40 tahun kebelakang sehingga menyukarkan negara mencapai tahap sekuriti makanan yang baik dan antara perkara utama ialah apabila kita mula ‘dimanja’ dengan makanan import,” ujarnya.

Menurut Nordin lagi, kebergantungan kepada makanan import ini menyebabkan nilai import makanan negara terus meningkat dan ia amat bahaya kerana apabila negara menghadapi krisis kewangan maka timbulah isu-isu yang ada pada hari ini.

“Kita juga sudah tidak lagi menitikberatkan kempen memakan makanan tempatan seperti mana pada tahun 1980-an di mana kita mempunyai kempen untuk menggalakkan rakyat memakan makanan tempatan antaranya seperti petai,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Felo Perunding, Laboratori Kajian Polisi Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Dr. Fatimah Mohamed Arshad pula berkata, agensi-agensi di bawah KPKM perlu dipantau.

Katanya, pemantauan ini perlu supaya setiap agensi dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan mengikut pengkhususan masing-masing.

“Jadi tidak perlu dicantumkan dan jangan wujudkan subsidiari lagi kerana ia tidak menguntungkan terutama untuk pekebun kecil,” ujarnya.

Menerusi Belanjawan 2023, KPKM memperoleh peruntukan sebanyak RM5.39 bilion iaitu mendapat kenaikan sebanyak 12.06 peratus berbanding RM4.81 bilion pada tahun lalu untuk memastikan tahap sekuriti makanan negara dapat dipertingkatkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×