PM bawa pelaburan RM40 bilion dari UAE

PM bawa pelaburan RM40 bilion dari UAE

Anwar Ibrahim bersama Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE, Sultan Ahmed Al Jaber menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi (kanan) sempena lawatan ke Bandar Masdar dan Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence (MBZUAI), semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasil lawatan kerja Datuk Seri Anwar Ibrahim di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya membawa pulang komitmen pelaburan berjumlah RM40.6 bilion (AS$8.6 bilion).

Sebahagian besarnya datang daripada pelaburan sehingga RM37.8 bilion (AS$8 bilion) bagi membangunkan projek tenaga boleh baharu dengan kapasiti 10 gigawatt di Malaysia.

Pelaburan itu dibuat menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Abu Dhabi Future Energy Company (Masdar) yang dimiliki oleh Mubadala Investment Company.

Ia antara salah satu MoU yang dimeterai ketika lawatan kerja julung kalinya di UAE, selepas MIDA memeterai perjanjian dengan UAE International Investment Council (IIC) berhubung kerjasama penggalakan dalam pelaburan.

Perdana Menteri berkata, komitmen pelaburan itu diwujudkan kerana kerajaan berhasrat menjadikan negara sebagai destinasi pilihan pelabur termasuk UAE.

“Ini boleh menjana peluang ekonomi lebih baik untuk dimanfaatkan rakyat namun memerlukan sokongan semua pihak untuk menjayakannya tanpa mengira perbezaan latar belakang mahupun perbezaan pendapat.

“Kini terpulang kepada pimpinan kerajaan serta kementerian dan agensi terbabit untuk bertiwikrama menjadikannya realiti, intiha ia akan menguntungkan negara dan rakyat kita sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, Majlis Perniagaan Malaysia-UAE turut diaktifkan semula dengan Malaysia akan diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz manakala Naib Presiden Mubadala Energy, Rashed Albooshi di pihak UAE.

Anwar menjelaskan, pe­labu­ran itu dibuat kerana dalam perbincangan beliau bersama Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zahed Al Nayan, Malaysia dilihat sebagai rakan strategik penting kepada UAE.

“Kita komited tingkatkan perkongsian strategik Malaysia-UAE meliputi semua bidang kerjasama dan boleh berkolaborasi untuk menerokai pasaran Afrika.

“Ini termasuk bidang tenaga boleh baharu, pelaburan strategik yang lain bagi memudah cara pelaburan dari pelabur-pelabur, keterjaminan makanan, Malaysia sebagai Pusat Data dan kecerdasan buatan (AI) kerjasama dengan Mohamed bin Zayed University of Artifical Intellegence,” katanya.

Perdana Menteri turut menyatakan sokongan sepenuhnya kepada UAE sebagai tuan rumah kepada Persidangan Negara Ahli ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 28), di Dubai yang akan berlangsung pada 30 November hingga 12 Disember ini.

“Malaysia menyokong misi UAE untuk COP28, mengukuhkan kerjasama global bagi mempercepatkan pelaksanaan Perjanjian Paris dalam usaha bersama untuk menangani impak perubahan iklim.

“Malaysia juga menyokong penuh kepimpinan Presiden COP28 , Dr. Sultan Ahmed Al-Jaber. Rantaian makanan dan pertanian sebagai salah satu agenda utama di COP28 adalah langkah paling tepat yang seterusnya dapat menjamin keterjaminan makanan global,” katanya.

Anwar mengakhiri lawatan kerjanya dengan merakamkan penghargaan kepada UAE kerana banyak memainkan peranan utama dalam mengeratkan hubungan akrab dan baik antara kedua-dua negara, serta menjemput Presiden UAE untuk lawatan ke Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×