PUTRAJAYA: Malaysia sedang membangunkan tujuh jenis vaksin manusia yang dilaksanakan pelbagai universiti dan institut penyelidikan negara ini.
Dianggarkan, vaksin manusia pertama yang dihasilkan negara adalah seawal tujuh tahun lagi.
Tujuh vaksin itu adalah pertama seumpamanya dilaksanakan di peringkat lokal antaranya bagi mencegah penyakit denggi, taun, tuberculosis dan Leptospirosis.
Ini termasuk vasin Covid-19, Neglected Tropical Disease dan kanser Colorectal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, secara umumnya, pembangunan vaksin manusia adalah kompleks, berisiko tinggi, dan mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 tahun untuk membangunkan calon vaksin baharu.
Menurut beliau, kos untuk membangunkan vaksin dengan menggunakan teknologi terkini juga adalah tinggi dan sememangnya untuk merealisasikan aspirasi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) memerlukan kesabaran dan komitmen tinggi daripada semua pihak.
“Penyelidikan vaksin ini tidak murah, bukan mudah dan memerlukan kesabaran serta gerak kerja yang berinovatif.
“Kebanyakan projek yang dilaksanakan di bawah MOSTI masih di peringkat tahun kedua dan ketiga. Kesemua kajian ini belum lagi mencapai tahap untuk dikomersialkan.
“Namun begitu, MOSTI sentiasa menyokong segala usaha agar calon-calon vaksin dan platform teknologi yang dibangunkan ini boleh diteruskan di peringkat seterusnya dan dikomersialkan,” katanya di sini semalam.
Aminuddin berkata, penyelidikan vaksin ini dijalankan secara berkumpulan yang diketuai pakar-pakar kompeten dan mempunyai pengalaman dalam pembangunan calon vaksin dan juga platform vaksin.
Katanya, setiap jumlah bagi kos setiap vaksin tersebut akan ditentukan berdasarkan kepada suatu jumlah yang akan dipersetujui di antara MOSTI dan pemohon.
Beliau menjelaskan, setiap kajian mempunyai kelebihannya masing-masing yang mana berpotensi untuk dikomersialkan dari segi pembangunan calon vaksin itu sendiri dan pembangunan platform vaksin.
“Kajian yang dijalankan ini perlu melalui fasa-fasa tertentu dari segi pengujian pra-klinikal dan klinikal serta mendapat kelulusan dari sudut regulatori bagi memastikan keselamatan, efikasi dan keberkesanannya untuk digunakan pada manusia.
“Setakat ini, kajian yang dilaksanakan dan paling keterhadapan adalah masih di peringkat praklinikal haiwan dan akan diuji di peringkat first-in-human,” katanya.
Aminuddin berkata, kajian yang dilaksana ini juga akan membantu meningkatkan kemahiran penyelidik tempatan dalam teknologi vaksin terkini seterusnya dapat melahirkan bakat-bakat baharu bagi menjamin kepakaran penghasilan vaksin di Malaysia terus berkembang.
Dalam konteks PPVN, beliau berkata, Malaysia belum lagi diiktiraf sebagai pengeluar vaksin manusia, justeru, MOSTI berinisiatif untuk mewujudkan satu geran khas bagi pembangunan dan penyelidikan (R&D) vaksin manusia.
Beliau berkata, projek-projek R&D ini adalah lebih fokus kearah pembangunan dan meneroka penghasilan vaksin tempatan di samping melihat aspek-aspek pengkomersialan.
“Tujuh jenis vaksin ini dibangunkan berdasarkan kepada kepakaran penyelidik-penyelidik tempatan.
“Walau pun tujuh jenis vaksin ini telah pun dibuat dan dilaksanakan di negara luar, tetapi projek ini akan menyokong pembangunan pelapis-pelapis penyelidik dalam meneroka teknologi penghasilan vaksin terkini, sebagaimana hasrat kerajaan dan MOSTI,” katanya. – UTUSAN










