KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tidak dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk menjalankan tanggungjawab memberi didikan agama kepada tiga beradik mualaf yang kini dipelihara ibu beragama Buddha.
Perkembangan itu diputuskan oleh Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz selepas menolak permohonan MAIPs untuk melaksanakan perintah variasi terhadap ketiga-tiganya.
Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Hayatul Akmal berpuas hati, permohonan MAIPs tidak melibatkan kepentingan terbaik kanak-kanak tersebut kerana mereka sendiri tidak berminat untuk mendalami ajaran agama.
Ujarnya, pendedahan itu diperoleh hasil temu bual terhadap tiga beradik tersebut yang dijalankan secara berasingan dalam kamar beliau untuk tempoh kira-kira sejam 30 minit pada prosiding 27 September lalu.
Temu bual tersebut bagi membolehkan mahkamah mendapat maklum balas daripada kanak-kanak itu sendiri berhubung permohonan MAIPs untuk melaksanakan tanggungjawab memberi didikan agama kepada mereka.
Hakim Hayatul Akmal berpuas hati bahawa ketiga-tiganya kini lebih selesa menetap dengan ibu mereka, Loh Siew Hong selepas hidup dalam keadaan trauma akibat terpisah selama tiga tahun.
“Mahkamah mengambil kira bahawa Siew Hong membantah dan anak-anaknya sendiri menolak untuk mendapat pendidikan dan asas agama yang ditawarkan oleh MAIPs.
“Tiada bukti yang menunjukkan tiga beradik itu mahu kekal sebagai seorang Islam apatah lagi mereka merupakan mangsa keganasan rumahtangga dan menyaksikan ibu didera,” ujar hakim berkenaan.
Beliau berkata, hasil temu bual itu, mahkamah berpuas hati bahawa ketiga-tiganya mampu berkomunikasi, berterus terang dan meluahkan pandangan menggunakan bahasa Melayu yang baik.
Dalam penghakimannya, Hakim Hayatul Akmal tidak yakin bahawa permohonan MAIPs akan memelihara kebajikan tiga beradik tersebut.
Beliau membuat pertimbangan bahawa kepentingan kanak-kanak tersebut mengatasi kepentingan lain dan pihak-pihak harus menerima situasi tersebut sambil meminta masa depan mereka tidak dinafikan atau diganggu.
MAIPs memohon perintah variasi bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak itu antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari-hari kebesaran Islam di masjid berhampiran dengan rumah.
Perintah itu juga termasuk memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup kanak-kanak itu dari aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan.
Sementara itu, Siew Hong ketika ditemui pihak media sejurus keputusan diumumkan berharap tiada lagi pihak mencampuri urusannya bersama tiga anak mualaf.
“Saya nak hidup dengan tenang bersama anak-anak, tidak mahu orang (pihak lain) kacau saya, cukuplah.
“Selaku seorang ibu dan saya hanya mahu fokus mengenai pendidikan mereka, bukan fikir pasal kes mahkamah sahaja, kerana kami mahu hidup dengan tenang,” katanya dalam keadaan sebak. – UTUSAN










