TUMPAT: Pekan Tak Bai, Thailand yang hanya dipisahkan kurang 100 meter dari Malaysia kembali digegarkan dengan letupan bom dan insiden berbalas-balas tembakan awal pagi tadi.
Kejadian sekitar pukul 2.30 pagi itu mengejutkan penduduk yang tinggal berhampiran sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Pengkalan Kubor.
Seorang penduduk Nurul Shazwa Jaafar, 30, berkata, semasa kejadian, dia sedang bersiap untuk tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dari pekan Tak Bai sekitar pukul 2.30 pagi.
Menurutnya, selepas itu, dia dikejutkan pula dengan beberapa das tembakan.
“Terkejut dengan kejadian itu, saya terus bangun dan mengintai melalui tingkap untuk melihat apa yang berlaku di Tak Bai.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat berbuat demikian kerana cuaca gelap. Pada masa sama, saya tidak berani untuk membuka tingkap kerana bimbang terdedah dengan peluru sesat,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Nurul Shazwa memberitahu, walaupun sudah lali dengan insiden letupan bom di negara jiran, namun, situasi itu tetap menakutkan.
Seorang lagi penduduk, Fitri Karim, 20, berkata, kejadian awal pagi tadi tidak seteruk kejadian letupan bom dan berbalas tembakan pada Mei tahun lalu.
“Dulu, sampai bergegar rumah dan serpihan bom sampai ke kampung kami.
“Kali ini hanya dengar bunyi letupan bom dan berbalas tembakan sahaja, lagi pun kejadian itu berlaku di pos kawalan polis pekan Takbai, jaraknya hampir dua kilometer dari tebing Sungai Golok” katanya.
Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia mendapati urusan keluar masuk di pintu masuk sempadan dekat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor berjalan seperti biasa.
Bangkok Post 26 Mei lalu melaporkan tiga anggota keselamatan cedera selepas Balai Polis Marin diserang dengan tembakan dan letupan bom.
Kejadian berlaku pada pukul 9.35 malam selepas enam penyerang tidak dikenali melemparkan bom dan melepaskan tembakan di stesen tersebut.
Tiga mangsa yang cedera ialah Sulaiman Yuso, 23, Opas Saensom, 33 dan Ekawat Ketduang, 41.
Kesemua mereka tercedera akibat terkena serpihan letupan bom dan merupakan anggota sukarelawan pertahanan di pos tersebut.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Tak Bai sebelum dipindahkan ke Hospital Narathiwat.
Orang ramai dilaporkan terdengar bunyi letupan itu dan polis marin berbalas tembakan dengan penyerang.-UTUSAN










