Lelaki mengaku salah pukul penunggang motor - Utusan Malaysia

Lelaki mengaku salah pukul penunggang motor

Kes pukul
KEJADIAN pukul seorang penunggang motosikal tular dalam media sosial sebelum tiga suspek ditahan dan salah seorang daripadanya dituduh di Mahkamah Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pekerja bengkel dipenjara dua bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku salah membelasah seorang penunggang motosikal sehingga cedera parah pada Ahad lalu.

Mohd. Faizul Nazri, 39, membuat pengakuan demikian di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Siti Zubaidah dalam penghakimannya menegur Mohd. Faizul yang bertindak sesuka hati seolah-olah hendak ‘menunjuk hebat’ di jalan raya apabila membelasah mangsa yang juga merupakan seorang penghantar makanan.

Katanya, tertuduh diharap mengambil iktibar terhadap kejadian tersebut dan hukuman yang dihadapinya.

“Jangan hendak mengikut perasaan dan ingin tunjuk hebat di jalan raya. Orang buat salah sikit pun, hendak bagi (pukul atau belasah). Sudahnya, kamu masuk mahkamah hari ini,” tegasnya.

Terdahulu, Mohd. Faizul dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah seorang lelaki berusia 21 tahun iaitu patah tulang rahang kelapan sebelah kiri di tepi jalan hadapan lampu isyarat Jalan Langat-Klang pukul 7.15 petang, Ahad lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. 

Peguam Nicholas Cheoh mewakili Mohd. Faizul pada prosiding tersebut memaklumkan anak guamnya menyesal dengan berharap hukuman minimum susulan sedang menanti kelahiran anak sulungnya. 

“Isteri tertuduh sarat mengandung tujuh bulan dan berharap berada di sisi isterinya semasa melahirkan anak nanti.

“Tertuduh bertindak sedemikian selepas dikatakan hilang kewarasan seketika apabila mangsa menunjukkan jari tengah seolah mencabarnya semasa kejadian,” katanya. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi menegaskan, kes gangsterisme di jalan raya sering berlaku kebelakangan ini. 

“Malah satu video telah tular dan saksi katakan tertuduh tiada belas kasihan sehingga mencederakan mangsa iaitu retak tulang rahang.

“(Tunjuk jari tengah) bukan alasan bertindak ganas terhadap mangsa. Justeru, mohon hukuman setimpal pemenjaraan dalam memberikan pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah orang awam (agar tidak melakukannya perkara sama),” katanya.

Tertuduh yang hadir memakai baju T berkolar berwarna ungu dan seluar jeans biru turut diperintah menjalani tambahan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Penunggang

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, tiga lelaki termasuk tertuduh sebagai suspek utama ditahan polis selepas mangsa membuat laporan berhubung kejadian tersebut pada 2 Oktober lalu.

Mangsa ketika itu dikatakan sedang melalui Jalan Langat – Klang pada pukul 7.15 petang Ahad lalu dan membunyikan hon terhadap sebuah kereta jenis Proton Saga FLX kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggarnya.

Bagaimanapun, pemandu kereta tersebut kemudian menghalang pergerakan mangsa di persimpangan lampu isyarat. 

Salah seorang (suspek) daripada tiga lelaki dalam kereta itu, menolak pengadu sehingga terjatuh dari motosikal selain mencekik, menumbuk muka, menendang perut dan kakinya beberapa kali.

Kejadian tersebut turut mengakibatkan mangsa yang berusia 21 tahun turut mengalami kerugian sebanyak RM250 apabila cover set motosikalnya rosak akibat ditendang suspek.

Susulan itu, lelaki itu ditahan bersama dua lagi rakannya pukul 6.30 petang kelmarin dan ujian air kencing mendapati suspek utama positif dadah jenis methamphetamine. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya