KUALA LUMPUR: Seramai lapan lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau lebih dikenali sebagai ekstasi, Ahad lalu.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Melayu dan Mandarin di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Dua tertuduh iaitu Ivan Wong Yi Xian, 24 dan Chong King Jun, 36, merupakan warga tempatan, manakala Jensen Soh Kah Yi, 34, dan Yeo Wei Seng, 37, merupakan warga Singapura, Lam Hoi Leung, 30 (Hong Kong); Hendry Gunawan, 28 (Indonesia), Tang Waei, 41 (China) dan Tran Quang Ha, 26 (Vietnam).
Empat daripada mereka dilihat hadir ke mahkamah dengan hanya bersinglet hitam dan berseluar panjang.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah didapati memiliki ketamin seberat 1.5 gram di sebuah bilik hotel mewah di Brickfields pada pukul 4 pagi, 24 Mei lalu.
Pertuduhan kedua pula, kesemua lelaki itu dengan niat bersama telah didapati memiliki dadah berbahaya MDMA seberat 0.7 gram di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) ADB yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Yong Jei Bing dan Roshvinder Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Semasa prosiding, Nurul Farhanah mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM7,000 kepada tertuduh warga tempatan manakala tertuduh warga asing tidak dicadangkan sebarang ikat jamin.
Roshvinder memohon agar Yi Xian dan King Jun dikenakan jumlah jaminan yang rendah atas alasan mereka masih bujang dan hanya bekerja sebagai pekerja kedai kecantikan dan jurujual.
Jei Bing yang mewakili semua tertuduh warga asing merayu agar mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan mereka hanya datang ke negara ini sebagai pelancong.
Nurul Izzah kemudian hanya membenarkan Yi Xian dan King Jun diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin manakala kesemua tertuduh lain tidak dibenarkan diikat jamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.
Semalam, media melaporkan seramai 51 lelaki dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral iaitu parti dadah dan pesta gay menerusi beberapa siri serbuan di sebuah hotel terkemuka di sekitar ibu negara, pada Ahad. – UTUSAN










