SUNGAI PETANI: Seorang peniaga belon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menyebabkan kematian seorang lelaki selepas tong gas helium yang diubah suainya meletup pada Khamis lalu.
Tertuduh, Hasrul Nizam Abu Hasan, 38, yang juga peniaga makanan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Saiful Akmal Mohd. Razi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 42 tahun dengan melakukan perbuatan cuai mengubah suai dan menggunakan tong gas helium buatan sendiri sehingga menyebabkan letupan yang mengakibatkan kematian mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tapak Ekspo Jam Besar, Jalan Ibrahim di sini, kira-kira pukul 7.53 malam pada 21 Mei lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamarulzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. Namun, peguam Muhammad Adam Burhanudeen merayu dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak berusia tiga hingga 15 tahun selain menjaga ibu bapa yang uzur serta tiada rekod lampau.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen. Tertuduh membayar wang jaminan itu.
Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang peniaga lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah tong gas helium meletup di tapak ekspo berhampiran SP Plaza, di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Azmi Ahmad, 42, maut di lokasi kejadian, manakala tiga lagi mangsa lelaki berumur 15, 36, dan 49 tahun cedera. Tong gas helium itu digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak bagi tujuan perniagaan di tapak ekspo itu. – UTUSAN










