Laksana skim perumahan Felda di Lembah Klang

Laksana skim perumahan Felda di Lembah Klang

Felda perlu kekal identiti JKKR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) mencadangkan kerajaan khususnya Felda mewujudkan skim perumahan Felda di Lembah Klang.

Ini bagi menyediakan kemudahan tersebut kepada anak-anak peneroka dan generasi baharu tanah rancangan tersebut di kawasan berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden MBFM, Muhammad Fadzli Hassan berkata, daripada kira-kira 1.6 juta generasi baharu Felda yang berhijrah keluar, 500,000 hingga 600,000 tinggal di Lembah Klang dan merupakan jumlah paling ramai.

Sehingga kini beliau berkata, tiada skim sedemikian dilaksanakan untuk anak peneroka dan generasinya yang bekerja di luar tanah rancangan khususnya di Lembah Klang.

“Perkara ini MBFM sudah sampaikan kepada Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Ia bukan sahaja membabitkan aspek perumahan malah peluang-peluang ekonomi dan pekerjaan.

“Ini kerana kita dapati anak generasi Felda yang tinggal di Lembah Klang ini membabitkan pelbagai kategori seperti berpendapatan baik dan sederhana serta miskin bandar,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa isu perumahan generasi kedua dan tiada peluang ekonomi serta aspek kemudahan merupakan antara masalah utama yang menghimpit warga Felda sejak sekian lama sekali gus menyebabkan 1.6 juta daripada 2.1 juta generasi baharu daripada 317 tanah rancangan di seluruh negara terpaksa berhijrah mencari pekerjaan.

Situasi itu menyebabkan hanya 440,000 generasi baharu yang masih tinggal sehingga memaksa Felda menggunakan tenaga kerja asing bagi menguruskan ladang kerana ketiadaan anak muda mengusahakan sawit dan getah.

Malah keadaan itu menyebabkan terdapat tanah dan rumah peneroka terbiar begitu sahaja kerana generasi baharu Felda tidak berminat meneruskan legasi peninggalan bapa dan datuk mereka setelah melihat soal kebajikan dan pembangunan yang masih dipandang sepi.

Muhammad Fadzli berkata, MBFM tidak menafikan hampir 1.7 juta generasi baharu Felda berhijrah dan bekerja di luar disebabkan isu perumahan generasi kedua dan tiada peluang ekonomi dalam kawasan tanah rancangan.

Beliau berkata, isu berkenaan sebenarnya secara berterusan cuba diatasi oleh kerajaan dan Felda antaranya menerusi pelaksanaan program Lot Generasi Felda (LGF) di Johor dan Pahang dan pastinya bakal diluaskan di seluruh negara.

“Untuk peluang pekerjaan, kerajaan dan Felda sudah melaksanakan program Kerja Borong Kecil (KBK) bagi memberikan pekerjaan kepada generasi baharu dalam bidang menuai sawit, membaja, meracun dan juga rawatan pokok.

“Sehingga kini, lebih 4,000 generasi baharu Felda sudah mendapat manfaat dari program KBK. Begitu juga berhubung kemudahan internet, Felda dalam proses menaik taraf kemudahan ini di seluruh tanah rancangan,” katanya.

Cuma katanya, penghijrahan anak peneroka dan generasi baharunya yang ketika ini berjumlah tiga juta orang sukar dielakkan kerana akan berlaku lambakan jika semua menetap di 317 tanah rancangan.

“Generasi baharu Felda komunitinya semakin lama semakin membesar. Ia sudah mencapai lima generasi. Tidak salah mereka berhijrah cuma Felda perlu memastikan mereka diambil berat khususnya membabitkan aspek perumahan dan pekerjaaan.

“Kerajaan dan Felda tidak hanya perlu memikirkan kebajikan 112,000 peneroka di 317 tanah rancangan malah tiga juta anak-anak peneroka dan generasinya termasuk yang tinggal di luar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×