Isu bahasa pengantar sekolah vernakular diputuskan 23 Nov. ini

Isu bahasa pengantar sekolah vernakular diputuskan 23 November ini

HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 23 November ini bagi keputusan rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT) serta keabsahan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Supang Lian yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pihak-pihak dalam rayuan tersebut, semalam.

Perayu-perayu terdiri daripada Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).

Terdahulu, peguam Moha­med Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mappim dan Gapena berhujah, meskipun rakyat negara ini boleh belajar dan me­ngajar bahasa lain, ia tidak boleh digunakan sebagai bahasa pe­ngantar dalam urusan rasmi.

“Oleh kerana pendidikan merupakan urusan rasmi, maka bahasa Melayu wajib digunakan sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran silibus,” hujah beliau.

Dalam hujahannya, Mohamed Haniff Khatri juga berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak langsung berhasrat memelihara sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar.

Beliau menghujahkan, tiada klausa diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan untuk merealisasikan hasrat itu.

Peguam itu berpendirian, keadaan itu tidak sama seperti Perkara 152(2) iaitu untuk memelihara penggunaan bahasa Inggeris di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk tempoh 10 tahun.

Menurut Mohamed Haniff, Perkara 152(3) pula untuk memelihara penggunaan bahasa Inggeris bagi penggubalan undang-undang.

“Jika Perkara 152 berhasrat untuk memelihara secara keperlembagaan kewujudan sekolah vernakular yang menggunakan bahawa pengantar bahasa Mandarin dan Tamil, mengapa tiada klausa diperuntukkan dalam Perlembagaan?” hujah beliau.

Menurut Mohamed Haniff, isu yang dicabar adalah ber­kenaan bahasa pengantar dan pertikaian itu tidak mendiskriminasi bangsa Cina dan India di sini.

Sementara itu, peguam Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Isma, mengguna pakai hujah Mohamed Haniff Khatri dalam rayuan itu. Datuk Shaharuddin Ali pula mewakili i-Guru.

Dalam rayuan itu, pihak responden menghujahkan isu sekolah vernakular tertakluk di bawah Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak mendapatkan pendidikan dan wajar diberi takrifan liberal.

Perkara 12 menyatakan rakyat Malaysia daripada apa bangsa atau agama sekalipun tidak boleh didiskriminasi untuk memperoleh pendidikan dan dana kerajaan atau institusi pendidikan.

Bagaimanapun, Mohamed Haniff Khatri menghujahkan, pihak responden terkhilaf kerana isu berkaitan sekolah vernakular tertakluk di bawah Perkara 152, bukan Perkara 12.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, yang mewakili Menteri Pendidikan dan kerajaan berhujah, kesemua sekolah terbabit juga perlu mematuhi sukatan mata pelajaran yang sama.

Dalam saman yang difailkan, plaintif telah menamakan Kerajaan Malaysia dan 13 lagi sebagai defendan antaranya ialah Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN