Hujan lebat, angin kencang diramal akibat peralihan monsun

Hujan lebat, angin kencang diramal akibat peralihan monsun

ZAIRIL Anuar Zulmuji (dua kanan) bersama pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia meninjau keadaan di Jeti Kuala Kedah sebagai langkah berjaga-jaga berikutan fenomena air pasang yang diramal bermula hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejadian ribut petir bersama hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat ekoran berlakunya peralihan fasa Monsun Timur Laut yang diramal bermula November ini.

Mengulas amaran hujan lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi, pakar meteorologi Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Azizan Abu Samah berkata, fenomena itu diramal berlaku pada sebelah petang dan awal malam di kebanyakan kawasan pedalaman di Semenanjung.

“Fenomena cuaca tersebut boleh menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur terutama pada kemudahan fasiliti yang tidak kukuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Meteorologi Malaysia turut menasihati orang ramai agar sentiasa peka dan berwaspada berikutan episod hujan lebat yang akan melanda negara berlarutan sehingga bulan Februari 2024.

Sementara itu di ALOR SETAR: Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pantai di negeri ini diminta berwaspada berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka bermula awal pagi ini hingga esok yang boleh mencapai ketinggian hingga tiga meter.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, terdapat empat daerah yang berisiko iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Yan dan Kubang Pasu.

“Tumpuan yang lebih diberikan kepada empat kawasan paling berisiko iaitu Kuala Kedah, Kota Kuala Muda, Kuala Yan dan Kuala Jerlun.

“Penduduk diminta berhati-hati dan sentiasa peka dengan peningkatan air di sekeliling kediaman masing-masing. Mereka juga diminta segera berpindah ke kawasan selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS) jika diarahkan berbuat demikian,” katanya selepas meninjau keadaan semasa di sekitar Jeti Kuala Kedah di sini, semalam.

Zairil Anuar berkata, pihaknya telah melakukan persediaan rapi untuk menghadapi segala kemungkinan termasuk jika fenomena itu bertembung dengan hujan lebat yang mungkin akan menyebabkan berlakunya banjir di kawasan tertentu.

Di GUA MUSANG pula: Skuad Uniti yang ditubuhkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan diaktifkan bagi membantu agensi keselamatan yang terlibat dalam operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir.

Ketua Pengarahnya, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, skuad itu juga akan terus giat memantau keadaan semasa kawasan dilanda banjir di Kelantan bagi memastikan keselamatan penduduk terus terjamin.

Beliau juga meminta penduduk di kawasan mudah banjir supaya sentiasa berjaga-jaga dan bersedia sepanjang masa bagi menghadapi musim tengkujuh terutama sekiranya diarahkan berpindah ke kawasan selamat.

“JPNIN tiada peruntukan khusus semasa banjir, tetapi kita akan menggembleng tenaga dengan semua agensi untuk membantu. Paling penting tenaga kita untuk membantu agensi yang lain yang ada peruntukan khusus,” katanya selepas Program Eksplorasi Rukun Negara Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2 di sini, semalam. – UTUSAN
.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN