Harga padi turun, pesawah Selangor tawar hati

Harga padi turun ke RM1,250 satu tan, pesawah Selangor tawar hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih 800 pesawah di utara negeri ini khususnya di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang di sini, golongan terawal menanam dan menuai setiap musim, tawar hati apabila harga padi turun daripada RM1,680 setiap tan metrik kepada RM1,250.

Malah, lebih mengecewakan apabila harga tersebut turun dalam sehari sahaja yang mana RM1,650 per tan itu direkodkan pada hari pertama tuaian pada 2 Oktober lalu dan cuma memanfaatkan enam pesawah dengan hasil antara 5.8 tan hingga 7.4 tan.

Harga tersebut disifatkan sebagai paling tinggi direkodkan selepas sekian lama pesawah-pesawah di sana menjual hasil padi pada harga lantai seperti yang ditawarkan pengilang-pengilang.

Namun harga tersebut turun lebih RM400 pada 3 Oktober lalu menyebabkan pengusaha lebih 2,000 hektar sawah di sana kecewa kerana mereka perlu menunggu untuk menuai padi mengikut giliran penggunaan jentera penuai.

Menurut wakil pesawah, Zainuddin Sudar, 50, sebelum ini pengusaha sawah di sini dijanjikan dengan harga RM1,700 per tan baru-baru ini, namun hari pertama menuai pada Isnin lalu, mereka cuma dapat RM1,680.

“Sudahlah dapat RM1,680 pada hari pertama, kemudian esoknya harga jatuh menjunam menjadi RM1,280, siapa yang tidak terkejut. Kami hampir putus asa kerana sudah berusaha semaksimum mungkin untuk mendapatkan hasil padi, tetapi harga jatuh begitu mudah.

“Kampung Sawah Sempadan selalu menjadi mangsa, dianaktirikan apabila sering mendapat harga paling rendah dan kami dapat tahu di Sungai Burong, Sekinchan dan Sungai Besar jumlahnya akan naik sehingga RM1,450 atau lebih.

“Harga yang tidak tetap berlaku puluhan tahun, kami pesawah sudah bersabar sekian lama, hanya mampu melihat pesawah tempat lain mengutip hasil lebih tinggi, tetapi kami cuma dapat angka yang menghampiri harga lantai RM1,200 sejak 2014,” katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan pesawah masih mendapat harga jualan padi pada RM1,700 walaupun kerajaan menyalurkan subsidi RM500 per tan melalui Skim Subsidi Harga Padi.

Terdahulu, lebih 70 pesawah berkumpul di hadapan pusat belian padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Jalan Tali Air 3, di sini bagi menyatakan bantahan terhadap pengurangan harga padi yang dihadapi mereka.

Harga padi tak sepadan harga beras di pasaran

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Fariuzzani Mohd. Toif, 39, memberitahu isu tersebut menghimpit pengusaha-pengusaha sawah padi saban tahun terutama ketika ini apabila rakyat berdepan dengan kekurangan bekalan beras tempatan.

“Kami bersyukur bila kerajaan mengumumkan subsidi racun dan baja untuk membantu pesawah, itu amat meringankan beban ketika kos untuk mengusahakan sawah seperti kenaikan harga bahan tersebut.

“Tetapi, hal berkaitan harga padi yang dihadapi pesawah amat menekan pesawah. Kami hasilkan padi, menggunakan racun, baja dan makan nasi daripada beras yang sama seperti di tempat lain di negeri ini, tetapi harga yang kami dapat RM1,250 per tan. Kenapa RM1,680 pula cuma sehari?” soalnya.

Pesawah hendak usahakan tanaman kontan

Dalam pada itu, Zainuddin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu untuk mengadakan pertemuan dengan pesawah-pesawah di sana untuk mendengar keluhan mereka dan menyelaraskan semula harga padi.

Jelasnya, kesemua pesawah tidak teragak-agak untuk meninggalkan perusahaan sawah padi selepas menanggung masalah tersebut sekian lama.

“Kalau tidak selesai, kami bertekad untuk beralih daripada mengusahakan sawah padi kepada pertanian kontan seperti yang sudah pun dilakukan oleh kebanyakan pesawah di kawasan Barat Laut.

“Pesawah harap harga dapat diselaraskan dalam minggu ini juga sementara padi di Kampung Sawah Sempadan masih dalam proses penuaian sehingga hujung bulan ini.

“Isu ini kami sudah pun ajukan kepada pengilang-pengilang, tetapi mereka menyalahkan kerajaan dan memberitahu penetapan harga dikawal oleh kerajaan. Terdapat tiga pengilang yang membeli padi di sini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×