CGM berjaya kumpul RM11.1 juta bantu Gaza

CGM berjaya kumpul RM11.1 juta bantu Gaza

gaza
KEADAAN kemusnahan di Gaza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cinta Gaza Malaysia (CGM) berjaya mengumpul RM11.1 juta setakat pagi tadi bagi membantu penduduk Semanjung Gaza yang terkesan dengan konflik memuncak Palestin dan rejim Israel yang memasuki lebih seminggu. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eksekutif Program Antarabangsa CGM, Muhamad Amirul Syafik Radzuan berkata, sumbangan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan kerjasama yang lain itu dikumpulkan sejak dilancarkan bermula 7 Oktober lepas.

Bagaimanapun, katanya, CGM tidak meletakkan sebarang sasaran terperinci kerana sasaran akan sentiasa meningkat apabila sasaran awal sudah dicapai selepas mengambil kira keperluan di sana yang sangat besar. 

“Apa yang kita rancang setakat ini untuk pelan kecemasan bantuan awal adalah pertamanya kita berikan bantuan segera kepada keluarga yang ditempatkan di hospital yang berupa kotak makanan, makanan panas dan keperluan tilam serta selimut. 

“Keduanya dan antara yang penting adalah bahan api serta diesel kepada hospital sebab bekalan elektrik sudah terputus, jadi, bahan api untuk generator elektrik kepada hospital dan ambulan bergerak seluruh Gaza. 

“Kemudian, bantuan perubatan seperti peralatan perubatan dan ubat-ubatan untuk hospital. Keempatnya yang kita terima daripada pasukan penyelamat di Gaza adalah mereka memerlukan bantuan seperti generator dan gerudi untuk misi menyelamat,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Setakat ini, lebih 2,600 rakyat Palestin termasuk 750 kanak-kanak maut dalam serangan pengeboman rejim Zionis sejak 10 hari lalu. 

Jumlah mangsa yang cedera pula dilapor meningkat kepada lebih 9,600 orang dengan keadaan di Gaza semakin memburuk apabila bekalan air, makanan, elektrik, perubatan tidak mencukupi untuk menampung 2.3 juta penduduk Palestin. 

Mengulas lanjut, Muhamad Amirul Syafik berkata, bantuan awal setakat ini disalur menggunakan wang kecemasan yang sudah diperuntukkan untuk dana kecemasan bagi digunakan di sana. 

Katanya, ia antara pelan kecemasan yang dilaksanakan selepas mengambil kira bantuan luar yang sukar memasuki Semenanjung Gaza ketika konflik tercetus. 

“Selain itu, CGM ada buat perjanjian dengan pembekal di Gaza untuk menyalurkan bekalan dan bayaran dibuat selepas perang selesai. Kenapa boleh? Sebab kepercayaan pembekal dengan CGM di sana.

“Namun, pembekal tetap bergantung dengan bekalan yang ada di Gaza dan kalau lihat kemas kini terkini di media, bekalan itu makin lama makin berkurang dan pastinya memerlukan bantuan dari luar. 

“Jadi, untuk bantuan dari luar, kita memerlukan kerjasama khususnya daripada kerajaan sendiri untuk membantu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×