PETALING JAYA: Belanjawan 2024 harus kekal fokus menangani kos sara hidup dan mengurangkan jurang kekayaan dan pendapatan antara rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, isu kelemahan nilai ringgit misalnya, kerajaan perlu melaksanakan inisiatif yang mampu memperkasakan industri domestik supaya dapat mengurangkan kebergantungan kepada barangan import terutamanya agromakanan.
“Belanjawan 2024 harus berani menawarkan program dan inisiatif yang berimpak tinggi dan tidak hanya mengulang kembali inisiatif sedia ada yang tidak memberi output atau impak yang ketara kepada rakyat mahupun negara.
“Selain itu, sektor yang harus diberi tumpuan adalah sektor perkhidmatan, peruncitan, argo makanan serta sektor yang menggunakan teknologi baharu.
“Sektor perlombongan seperti nadir bumi juga harus diberi sokongan untuk mewujudkan ekosistem yang lebih komprehensif merangkumi peringkat upstream hingga downstream,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pada masa yang sama, kerajaan juga perlu fokus kepada usaha meningkatkan pelajar dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan juga menyediakan lebih banyak peluang untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain mewujudkan Majlis TVET.
“Bagi sektor kesihatan, menambahbaik fasiliti dan menambah lagi hospital dan klinik kesihatan supaya lebih banyak peluang pekerjaan untuk doktor tempatan berkhidmat dan juga mengurangkan masa menunggu pesakit,” katanya.
Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 13 Oktober ini adalah bajet kedua di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN










