PETALING JAYA: Malaysia berpendirian rakyat Palestin harus dikembalikan semula tanah, rumah dan harta mereka selain dibenarkan hidup aman serta bermaruah di negara sendiri.
Selain itu, Malaysia berpendirian, masyarakat antarabangsa perlu mengiktiraf sempadan negara Palestin berdasarkan persempadanan sebelum tahun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat antarabangsa tidak lagi boleh menutup mata terhadap kekejaman yang sedang berlaku sebaliknya harus menoktahkan layanan berat sebelah dan kemunafikan secara terang-terangan.
Beliau berkata, punca utama konflik di Palestin harus ditangani tanpa pengecualian dengan hak asasi manusia mesti dilindungi dan undang-undang antarabangsa ditegakkan.
Dalam masa yang sangat mencabar ini dengan menghadapi krisis kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang boleh menyebabkan konflik serantau dan dunia, Malaysia menyeru agar semua negara untuk bersama-sama mencari penyelesaian berkekalan serta adil dalam kemelut ini.
Kami berharap ahli-ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) khususnya P5 (ahli tetap Majlis Keselamatan PBB) memainkan peranan mereka sebagai broker keamanan yang jujur. Inilah masanya untuk dunia bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh, Arab Saudi, semalam.
Untuk rekod, P5 juga adalah negara-negara yang mempunyai kuasa veto dalam UNSC iaitu Amerika Syarikat, Rusia, China, United Kingdom dan Perancis.
Kata Anwar, Malaysia sangat sedih dengan angka korban yang tinggi dalam konflik di Semenanjung Gaza ketika ini.
Beliau menegaskan, Malaysia sedia menyertai usaha antarabangsa bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
“Kami mengutuk pengeboman Israel yang tidak seimbang dan sewenang-wenangnya di Gaza sambil menyekat keperluan asas yang penting kepada penduduk di Gaza sehingga meletakkan banyak nyawa rakyat Palestin dalam bahaya.
“Terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan koridor kemanusiaan untuk membolehkan bantuan disampaikan kepada mereka yang memerlukan. Malaysia bersedia menyertai usaha antarabangsa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bekalan (ke Gaza),” katanya.
Anwar turut menyatakan penghargaan kepada Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Muhammad Bin Salman kerana mengambil inisiatif menggabungkan dua ketumbukan iaitu negara ASEAN dan negara teluk. – UTUSAN










