1,000 peminat sukan berbasikal meriahkan IGMR di Kemaman - Utusan Malaysia

1,000 peminat sukan berbasikal meriahkan IGMR di Kemaman

HISHAMUDDIN Abdul Karim (tengah) dan Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun (dua dari kanan) ketika Majlis Pra-Pelancaran International Golden Monsoon Ride (IGMR) 2023 di KTCC Mall, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 1,000 peminat sukan berbasikal dari dalam dan luar negara dijangka memeriahkan International Golden Monsoon Ride (IGMR) 2023 di Teluk Kalong, Kemaman dekat sini pada 16 Disember nanti.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, antara yang mengesahkan penyertaan adalah peserta Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Beliau berkata, penganjuran edisi ketiga IGMR menawarkan 12 kategori perlumbaan dengan hadiah tunai bernilai RM31,000, selain cabutan bertuah lebih RM120,000 termasuk sebuah Perodua Myvi.

Katanya, pemilihan Teluk Kalong sebagai venue kali ini bakal menyajikan laluan trek mencabar buat semua peserta dengan laluan sejauh 40 kilometer.

“Antara kategori dipertandingkan ialah terbuka lelaki elit yang terdiri daripada atlet profesional, terbuka lelaki dan wanita, lelaki bawah 18 tahun, ‘master’ lelaki dan wanita serta ‘heavyweight’.

“Orang ramai juga berpeluang mengayuh bersama pelumba handalan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dalam acara santai ‘On Road Fun Ride Open’ sejauh 48 kilometer.

“Apa yang pasti, IGMR 2023 menjanjikan pengalaman berbasikal penuh aksi kepada peserta untuk menguji kemampuan berentap dalam musim monsun,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pra-Pelancaran IGMR 2023 di KTCC Mall di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorperated, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.

Hishamuddin memberitahu, acara IGMR juga selari dengan identiti Terengganu sebagai negeri kayuhan berbasikal atau ‘Land of Cyclist’ melalui pencapaian negeri itu dalam sukan berkenaan.

Malah, kejohanan tersebut menurut telah berjaya memberikan impak dan limpahan ekonomi yang positif selain merancakkan sektor pelancongan sukan terutama pada dua edisi terdahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya