Ustaz Azhar Idrus dapat tauliah ceramah, mengajar agama dari Maidam

Ustaz Azhar Idrus dapat tauliah ceramah, mengajar agama dari Maidam

USTAZ AZHAR IDRUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Isu ketiadaan tauliah mengajar melibatkan pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus sebelum ini selesai setelah beliau disahkan telah mendapat tauliah  daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Maidam itu sah untuk tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028 untuk menyampaikan ceramah umum dan mengajar agama Islam berkitab.

Sebelum ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesahkan Ustaz Azhar adalah antara individu yang tidak mempunyai tauliah untuk berceramah dan berkuliah di masjid dan surau di negeri ini.

Bagaimanapun, isu tersebut reda apabila Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M. Rozi Bidin mengesahkan Ustaz Azhar dan beberapa individu lain telah hadir secara sukarela untuk memohon tauliah mengadakan ceramah dan kuliah agama pada Mei lalu.

Beliau memaklumkan proses seterusnya ialah membentangkan hasil temuduga itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengawasan Pendidikan Agama Islam Maidam sebelum tauliah dikeluarkan.

Pada pilihan raya yang lalu pula, Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dilaporkan berkata, hanya individu yang mempunyai tauliah sahaja dibenarkan menyampaikan kuliah dan ceramah di masjid dan surau di Terengganu.

Serentak itu, semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Negara juga dilarang menggunakan masjid serta surau di Terengganu sebagai pentas kuliah atau ceramah.

Larangan itu bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna, selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin juga pernah menzahirkan rasa dukacita dengan pembabitan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat tanpa kebenaran Maidam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya