IPOH: Kerajaan Pusat perlu mempunyai kaedah kerjasama yang lebih baik dan bertegas dengan kerajaan negeri berhubung pengurusan tanah pertanian bagi memastikan negara mempunyai keluasan tanah yang mencukupi untuk sekuriti makanan.
Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW) Kampung Gajah, Nordin Abdul Malek berkata, ini kerana bidang kuasa berkaitan tanah kebanyakannya berada di bawah kuasa kerajaan negeri.
Menurut beliau, dalam hal ini, pihaknya sendiri berpengalaman berdepan pelbagai masalah untuk mendapatkan tanah bagi tujuan pengeluaran makanan bukan sahaja membabitkan iGROW, tetapi juga dalam kalangan graduan tani dan pelabur yang berminat mengusahakan pertanian dengan skala besar, berteknologi tinggi dan menjamin bekalan makanan.
“Kerajaan Pusat dan negeri perlu memastikan tiga isu utama yang menyukarkan keperluan tanah untuk sekuriti makanan iaitu pertindanan pemilikan yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sukar memberi kelulusan pajakan serta meluluskan pajakan dan penggunaan tanah pertanian untuk tujuan lain seperti menanam kelapa sawit dan melombong,” katanya.
Nordin yang juga Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah berkata, iGROW dan graduan sendiri berdepan dengan masalah untuk mendapatkan tanah bagi tujuan latihan kemahiran moden.
Katanya, ini apabila kerajaan negeri memutuskan menyerahkan tanah kepada GLC seperti Setiausaha Kerajaan Negeri Diperbadankan (SSI), Syarikat Menteri Besar Diperbadankan (MB Inc.) atau Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).
Kata beliau, kadang kala fungsi GLC ini tidak selari dengan fungsi kegunaan tanah.
“Ada tanah pertanian yang sesuai, tetapi disyaratkan untuk tujuan pembangunan. Jika diberi sewaan pun melibatkan jangka masa yang pendek iaitu perlu diperbaharui setiap tahun dengan kadar sewaan yang kadang-kadang terlalu mahal.
“Ada tanah-tanah yang diberikan kepada GLC pertanian diluluskan pula untuk tujuan melombong dan menanam kelapa sawit yang kononnya lebih menguntungkan kerajaan negeri untuk mendapat hasil cukai perlombongan,” katanya.
Nordin berkata, jika dibiarkan berleluasa, golongan petani hilang minat kerana berdepan dengan masalah keperluan tanah pertanian yang serius.
Katanya, bagi menangani isu tanah yang semakin berkurangan, IGROW juga mencadangkan supaya kerajaan mencari alternatif lain.
“Antaranya menggalakkan kaedah pertanian moden atau smart farming dan meningkatkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi
dalam sektor pertanian. IGROW sedia bekerjasama melalui pendekatan kerjasama awam dan swasta,” katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan hanya 817,000 hektar atau 16 peratus daripada 5.36 juta hektar tanah pertanian digunakan untuk tujuan
tanaman makanan, penternakan dan perikanan sedangkan Malaysia memerlukan kawasan bagi aktiviti pengeluaran sumber makanan seluas hampir 1.3 juta hektar menjelang 2030.-UTUSAN










