Tafsir ayat al-Quran; Adakan sesi khas penerangan mengenai Islam - Utusan Malaysia

Tafsir ayat al-Quran; Adakan sesi khas penerangan mengenai Islam

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan menerusi mana-mana jabatan atau agensi yang sesuai disarankan untuk menganjurkan sesi khas penerangan mengenai ajaran Islam kepada wakil-wakil rakyat, ahli-ahli politik dan para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam di negara ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, penyertaan itu hanya digalakkan namun tidak diwajibkan kerana tujuannya bukan untuk mempengaruhi mereka menukar agama kepada Islam, tetapi sekadar untuk memahamkan mereka tentang ajaran-ajaran Islam.

”Semoga dengan menghadiri sesi sedemikian mereka akan mendapat kefahaman yang betul tentang isi kendungan al-Quran.

”Kita percaya dengan kefahaman yang betul tentang isi kandungan al-Quran akan meningkatkan lagi perpaduan dan sikap saling menghormati antara sesama warganegara,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini tular di dalam media sosial mengenai Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang mentafsirkan potongan ayat daripada surah an-Nisa.

Ekoran itu, Dewan Pemuda Pas Perak membidas dan menyifatkan Howard Lee sebagai kurang ajar dan cuba melakukan provokasi apabila mendakwa ahli Parlimen DAP berkenaan menjadi pentafsir kepada al-Quran dengan memutarbelitkan tafsir ayat 59 surah an-Nisa.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, susulan kontroversi yang tercetus daripada tindakan Howard Lee yang dikatakan mentafsir ayat Quran sesuka hati, beliau telah cuba meneliti ucapan Ahli Parlimen berkenaan dan keterangan yang telah diberikan.

”Saya dapati beliau hanya memetik ayat 59, surah al-Baqarah dan tidak mentafsirkannya seperti didakwa oleh pihak tertentu. Malah, beliau tidak pun membaca teks asal ayat itu di dalam bahasa Arab.

”Menurut Howard, beliau juga belajar terlebih dahulu dengan beberapa orang alim untuk memahami maksud ayat berkenaan, jadi saya ingin mengajak semua pihak melihat kepada insiden ini secara positif dan proaktif,” katanya.

Tambah Wan Salim, ahli-ahli politik jangan hanya memikirkan keuntungan politik bagi parti yang dianggotai atau disokong semata-mata, tetapi perlu mengutamakan usaha memberi kefahaman yang tepat kepada masyarakat termasuk bukan Islam tentang maksud sebenar ayat-ayat al-Quran.

”Jika tujuan ini tercapai bererti satu perkembangan yang baik dalam hubungan antara sesama warga Malaysia berjaya diwujudkan.

”Ini kerana semakin ramai masyarakat bukan Islam di negara ini yang memahami isi kandungan al-Quran bererti semakin bertambah penghargaan dan penghormatan mereka terhadap kita suci Islam itu.

”Maka, diharap dengan cara sedemikian mampu menghapuskan fenomena islamofobia dan sangkaan buruk mereka terhadap agama Islam dan umatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya