Susun atur tempat duduk pembangkang, PSB dalam sidang

Susun atur tempat duduk pembangkang, PSB dalam sidang DUN Sarawak tidak berubah 

ASFIA Awang Nassar (kiri) menggulas kepada media berhubung status susun atur kedudukan kerusi bagi parti pembangkang PSB dalam persidangan DUN Sarawak akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kedudukan susun atur kerusi Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tetap kekal di kerusi pembangkang pada waktu ini, kata Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar. 

Dedah Asfia, tiada pemakluman dan perbincangan dari pihak kerajaan untuk mengatur kerusi ahli pembangkang PSB yang dijadualkan bersidang pada November kelak.

“Meskipun PSB akan bergabung dengan Parti Demokratik Progresif (PDP), tidak ada sebarang gabungan pengiktirafan dimaklumkan. 

“Kini, ia bergantung sama ada penggabungan itu diiktiraf dan dibenarkan oleh Gabungan Partyi Sarawak (GPS) yang memerintah, jika ia tidak dibenarkan maka status quo kekal.

“Jika ia dibenarkan dan mereka semua (ADUN PSB) diambil sebagai ahli GPS, maka, saya perlu menyemak susunan tempat duduk mereka,” katanya ketika ditanya media berhubung status susun atur kerusi bagi parti pembangkang PSB dan komponen parti GPS iaitu PSB. 

Pada Ogos baru-baru ini, Parti Progresif Demokratik (PDP) dan PSB dijangka mewujudkan gabungan kedua parti Disember ini, kata Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing.

Jelas beliau, kedua-dua parti itu perlu mencari jalan yang ideal terlebih dahulu bagi mewujudkan kerjasama untuk bergabung.

Bagaimanapun, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekali lagi menegaskan gabungan jalinan kerjasama antara komponen parti GPS iaitu -PDP dan parti pembangkang Sarawak -PSB tidak ada kaitan dengan GPS.

Malah, Abang Johari berkata, belum ada stuktur kepada jalinan kerjasama kedua-dua parti berkenaan.

“Pendirian PBB serupa dengan GPS. Seperti mana yang saya sudah umumkan bahawa kerjasama PDP dan PSB itu terpulang kepada mereka.

“Tetapi, saya tegaskan PSB bukan ahli GPS dan apa sahaja jalinan kerjasama terpulang kepada mereka kerana struktur gabungan bagi keduanya belum ada,” jelasnya.

Julai lalu, PSB yang merupakan parti pembangkang Sarawak mengumumkan sokongan terhadap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak.

Sokongan tersebut membawa PSB dan PDP menandatangani satu perjanjian persefahaman di Kuala Lumpur bagi membentuk kerjasama dan pada masa yang sama bertujuan untuk menggabungkan kedua-dua parti tersebut.

Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, pilihan mereka untuk menyokong kepemimpinan semasa Kerajaan Persekutuan dan Sarawak adalah bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara.-UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN