SMKBBP perlu dana RM850,000 bina surau - Utusan Malaysia

SMKBBP perlu dana RM850,000 bina surau

RAMKARPAL Singh menyampaikan replika cek kepada Jafnizal Jaafar (dua,kanan) iaitu dana bagi tujuan membina surau baharu di SMKBBP, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: ‘Satu Keluarga Satu Tabung’ menjadi salah satu idea kreatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Perda (SMKBBP) di sini, untuk mengumpulkan dana berjumlah RM850,000 bagi pembinaan surau baharu.

Surau yang bakal dibina di sekolah terbabit bertujuan memudahkan hampir 780 warga sekolah terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan sekolah melaksanakan amal ibadah dan aktiviti keagamaan.

Pengerusinya, Jafnizal Jaafar berkata, lebih 680 tabung diagihkan kepada pelajar bagi membolehkan ahli keluarga serta waris turut sama membantu mengumpul dana.

“Tidak ada paksaan untuk pelajar melibatkan diri, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana melalui teknik itu sahaja, lebih RM30,000 berjaya dikumpulkan dalam masa yang singkat.

“Ada ibu bapa yang meminta supaya tabung itu dikembalikan supaya mereka boleh terus membantu mengutip dana yang diperlukan bagi menjayakan pembinaan surau yang dirancang sejak tahun lepas.

“Selain itu, kita turut menguar-uarkan bantuan menerusi media sosial selain tabung kutipan turut disediakan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh mengadakan lawatan ke sekolah terbabit dan menyerahkan sumbangan sebanyak RM30,000.

Sehingga kini, hampir RM100,000 berjaya dikumpulkan bagi tujuan pembinaan surau yang dijangka bermula tahun depan.

Jaffnizal berkata, ketika ini, sebuah kelas di tingkat tiga sekolah berkenaan diubah suai menjadi surau sementara.

“Walau bagaimanapun, agak kurang selesa susulan di sekolah ini terdapat guru dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) dan sukar untuknya mengakses surau berkenaan.

“Maka, diharapkan pelan pembinaan surau seluas lebih 2,400 kaki persegi di antara dua bangunan sekolah ini dapat menjadi realiti tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Ramkarpal yang juga Ahli Perlimen Bukit Gelugor berkata, beliau berharap sumbangan yang diberikan dapat digunakan untuk membina surau terbabit.

“Biarpun ia bukan di bawah kawasan (Parlimen) saya, namun bantuan ini berdasarkan budi bicara dan diharapkan projek ini dapat dijalankan dalam masa terdekat.

“Saya akan membantu dan meneliti perkembangan projek ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu pembinaan surau SMKBBP boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Affin Islamic 10-659-001446-8 atas nama PIBG SMK Bandar Baru Perda.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya