Peruntukan kerajaan Persekutuan buat Perlis disalur menerusi ICU - MB - Utusan Malaysia

Peruntukan kerajaan Persekutuan buat Perlis disalur menerusi ICU – MB

MOHD Shukri Ramli ketika ditemui di Kompleks DUN, Kangar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Peruntukan kerajaan Persekutan buat Perlis akan disalurkan menerusi Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, berikutan itu, setiap pembangunan yang bakal dijalankan di negeri ini akan dilaksanakan oleh pihak ICU selepas ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, sebahagian daripada projek pembangunan di Perlis masih perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri antaranya melibatkan aspek tanah dan sebagainya.

“Pelaksanaan pemberian peruntukan menerusi ICU itu juga dijangka bermula dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai mesyuarat dihadirinya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Mohd. Shukri berkata, perjumpaan itu juga adalah bagi membincangkan mengenai hal berkaitan tanah dan pembangunan wilayah.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan juga berhasrat bagi membangunkan 50 lokasi hab pengecas pantas kenderaan elektrik (EV) di beberapa lokasi sekitar negeri ini.

“Perkara yang menjadi perhatian kerajaan negeri adalah membabitkan aspek lot parkir yang kurang di negeri ini bagi membangunkan kemudahan itu.

“Malah, di Perlis juga tidak banyak kenderaan elektrik jadi pada saya tidak perlu tergesa-gesa bagi pelaksanaan itu dan kita akan melihat kembali perkara ini untuk pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM9 juta buat Perlis bagi membina loji air di Arau dan Guar Sanji.

Katanya, pembinaan loji itu akan membantu menyelesaikan isu tekanan air rendah dihadapi pengguna sekitar kawasan Arau dan Kangar.

“Kerja-kerja pembinaan itu sudah boleh bermula dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada kerajaan Persekutuan kerana membantu menyalurkan peruntukan ini bagi membantu rakyat Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya