PETALING JAYA: Usaha untuk menganalisis bagi membongkar punca nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 di Elmina, Selangor akan memfokuskan kepada sistem kawalan penerbangan.
Berdasarkan nota laporan awal nahas pesawat itu, analisis awal rakaman kotak perakam suara kokpit (CVR) yang dipulihkan telah memberikan petunjuk kritikal terhadap membongkar punca kemalangan dengan memfokuskan kepada sistem kawalan penerbangan pesawat.
Justeru punca dan faktor pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Selangor akan dikeluarkan dalam laporan akhir.
“Hasil pemeriksaan bahagian pesawat berkaitan belum selesai dan komponen berada di makmal Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) dan makmal pengilang peralatan asal (OEM).
“Ia amat perlu untuk menyediakan laporan di dalam bukti konklusif dalam menentukan punca kemalangan,” kata laporan itu.
Selain itu, cadangan keselamatan akan dimasukkan ke dalam laporan akhir.
Terdahulu, laporan awal menyebut tiada bukti penemuan objek asing di kedua-dua belah enjin kiri dan kanan pesawat dalam laporan awal nahas pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 di Elmina Shah Alam bulan lalu.
Menerusi laporan yang dikeluarkan di laman sesawang Kementerian Pengangkutan, kedua-dua enjin tidak mempunyai bukti pembebasan bilah seperti kemek, tebuk dan bulu burung pada mana-mana komponen enjin.
Kata laporan itu, pesawat berkenaan mempunyai Sijil Kelayakan Udara sah dan telah dikekalkan dengan mematuhi peraturan.
Pada 17 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan insiden pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Selangor dan mengorbankan 10 individu termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan maut di samping dua juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian itu yang berlaku pada pukul 2.48 petang.
Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam. – UTUSAN










