JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menolak sebarang usaha menormalisasikan aktiviti rasuah khususnya seperti yang berlaku melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi MUDA Johor, Mohd. Azrol Ab. Rahani berkata, walaupun partinya kecil dan masih baharu, namun MUDA tidak akan berkompromi tindakan sedemikian yang bertentangan dengan prinsip dan nilai parti tersebut.
Katanya, keputusan Peguam Negara yang melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 kes pertuduhan tanpa penjelasan meyakinkan telah menimbulkan tanda tanya kepada rakyat secara umum.
“Ini melanggar prinsip Kerajaan Madani yang ingin melawan rasuah khususnya melibatkan isu integriti dan budaya rasuah. Sehubungan keputusan tersebut, MUDA percaya bahawa institusi perundangan negara ini telah dicemari.
“Kerajaan Perpaduan seolah-olah telah menormalisasikan budaya rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN











