BENTONG: Lebih 200 penyokong Perikatan Nasional (PN) mengiringi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, Kasim Samat ke Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini pagi ini.
Antara pemimpin yang hadir ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan pemimpin komponen PN.
Terdahulu, pergerakan calon ke pusat penamaan calon disambut dengan bacaan selawat dan laungan takbir.
PRK DUN Pelangai bermula hari ini dengan proses penamaan calon dan diikuti kempen yang berlangsung sehingga proses pengundian pada 7 Oktober ini.
Kerusi N36 Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
PRK DUN Pelangai kali ini dijangka menyaksikan saingan sengit antara BN dan PN yang masing-masing turun dengan misi wajib menang. – UTUSAN